Loading...
Larger font
Smaller font
Copy
Print
Contents
  • Results
  • Related
  • Featured
No results found for: "".
  • Weighted Relevancy
  • Content Sequence
  • Relevancy
  • Earliest First
  • Latest First
    Larger font
    Smaller font
    Copy
    Print
    Contents

    Bab 15 - Orang-orang Yahudi Hendak Membunuh Paulus

    Imam-imam ketua dan pemerintah-pemerintah terangsang dengan kebencian terhadap Paulus ketika menyaksikan kesan dari huraian pengalamannya. Mereka melihatnya berkhutbah dengan berani tentang Yesus, mengadakan mukjizat dalam nama-Nya, tidak terkira banyaknya orang yang mendengar khutbahnya dan berpaling daripada tradisi mereka dan memandang mereka sebagai pembunuh Anak Yahweh. Kemarahan mereka meluap-luap dan mereka berhimpun untuk membincangkan langkah-langkah terbaik yang akan diambil untuk meredakan keghairahan itu. Mereka bersetuju bahawa satu-satunya jalan yang selamat bagi mereka adalah untuk membunuh Paulus. Tetapi Tuhan mengetahui niat mereka. Tuhan mengutus malaikat-Nya untuk menjaga Paulus supaya dia boleh hidup untuk menyelesaikan misinya dan menderita kerana nama Yesus. KB 43.1

    Paulus dimaklumkan yang orang-orang Yahudi ingin mendapatkan nyawanya. Syaitan menggerakkan orang-orang Yahudi yang tidak percaya itu untuk mengawal pintu masuk ke Damsyik siang dan malam supaya apabila Paulus melaluinya, mereka dapat membunuhnya di situ juga. Tetapi pada malam hari, murid-murid menurunkannya dengan bakul melalui tembok. Di sini, orang-orang Yahudi dipermalukan oleh kegagalan mereka dan tujuan Syaitan dikalahkan. Paulus pergi ke Yerusalem menggabungkan dirinya dengan para rasul. Tetapi mereka semua takut akan Paulus. Mereka tidak dapat mempercayai yang Paulus adalah murid. Nyawanya diburu oleh orang-orang Yahudi di Damsyik dan saudara-saudaranya tidak mahu menerimanya. Tetapi Barnabas menerimanya dan membawa dia kepada rasul-rasul. Dia membuat pengakuan di hadapan mereka bagaimana Paulus melihat Tuhan dalam perjalanan dan dia telah berkhutbah dengan lantang dalam nama Yesus di Damsyik. KB 43.2

    Tetapi Syaitan menghasut orang-orang Yahudi untuk membinasakan Paulus dan Yesus menyuruh Paulus meninggalkan Yerusalem. Semasa dia melawat bandar-bandar lain memberitakan Yesus dan mengadakan mukjizat, banyak orang telah bertaubat. Ketika seorang yang tempang sejak sekian lama dipulihkan, orang-orang yang menyembah berhala-berhala sedia memberikan persembahan korban kepada murid-murid. Paulus bersedih dan memberitahu orang-orang itu bahawa murid-murid itu hanyalah manusia biasa, mereka harus menyembah Tuhan yang mencipta langit, bumi, laut dan semua benda yang ada di dalamnya. Paulus meninggikan Tuhan di hadapan mereka, namun dia tidak dapat mengawal orang ramai itu. Pengetahuan pertama tentang iman kepada Tuhan yang benar, penyembahan dan penghormatan kepada-Nya dibentuk dalam minda mereka. Ketika mereka sedang mendengar Paulus, Syaitan mendorong orang-orang Yahudi yang tidak percaya di bandar-bandar lain menyusul Paulus untuk merosakkan pekerjaan baik yang dilakukan melaluinya. Orang-orang Yahudi gempar dan menimbulkan kemarahan penyembah berhala dengan laporan palsu menentang Paulus. Kehairanan dan kesukaan orang-orang itu terhadap Paulus kini bertukar menjadi kebencian. Mereka yang sebentar tadi bersedia untuk menyembah murid-murid, kini melempar Paulus dengan batu dan mengheretnya keluar dari bandar, menganggap yang Paulus sudah mati. Tetapi ketika murid-murid berdiri mengelilingi Paulus, meratapi kematiannya, tiba-tiba sahaja keadaan menjadi gembira bila dia bangun berdiri dan pergi bersama-sama mereka masuk ke bandar.KB 43.3

    Ketika Paulus memberitakan Yesus, seorang perempuan yang dirasuk roh tenung mengikuti mereka sambil berseru, “Orang-orang ini adalah hamba Allah Yang Maha Tinggi. Mereka memberitakan kepada kita jalan kepada keselamatan.” Demikianlah perempuan itu mengikuti mereka selama beberapa hari. Paulus sedih kerana seruan sedemikian telah mengalihkan perhatian orang-orang di bandar itu daripada kebenaran. Tujuan Syaitan memimpin perempuan berbuat demikian adalah untuk menimbulkan rasa meluat di kalangan orang-orang yang mendengar dan untuk memusnahkan pengaruh murid-murid. Namun semangat Paulus meluap dalam dirinya lalu berpaling kepada perempuan itu dan berkata kepada roh itu, “Demi nama Yesus Kristus aku menyuruh engkau keluar dari perempuan ini.” Roh jahat itu ditegur dan meninggalkan perempuan itu.KB 43.4

    Tuan-tuan perempuan itu berasa senang melihat perempuan itu berseru-seru mengikuti murid-murid tetapi bila roh jahat itu meninggalkannya dan melihat dia menjadi murid Yesus yang rendah hati, mereka naik berang. Mereka telah mengumpul banyak wang melalui pekerjaan menenung perempuan itu tetapi harapan mereka untuk mendapat keuntungan kini sudah lenyap. Tujuan Syaitan telah digagalkan. Namun hamba-hambanya telah menangkap Paulus dan Silas dan mengheret mereka ke pasar, mengadap para penguasa dan majistret, berkata, “Ini adalah orang-orang Yahudi yang membuat banyak kekacauan di bandar kami.” Orang ramai bangun menentang mereka. Para Majistret mengoyakkan baju mereka menyuruh orang ramai itu memukul mereka. Setelah orang ramai itu mengenakan banyak calar di badan mereka, mereka disumbatkan ke dalam penjara. Penguasa penjara itu diperintahkan menjaga mereka supaya tidak terlepas. Dengan perintah itu, penguasa penjara itu memasukkan mereka ke dalam bilik penjara di sebelah dalam sekali dan mengikat mereka pada pasung. Bagaimanapun malaikat Tuhan mengiringi mereka dalam penjara yang dikelilingi tembok itu. Penahanan mereka itu akan menyatakan kemuliaan Tuhan dan menyatakan kepada orang bahawa Tuhan sedang bekerja dan ada bersama-sama dengan orang-orang pilihan-Nya kerana tembok penjara itu dapat digoncang dan palang-palang besi yang kuat sekalipun dengan mudah sahaja dapat dibuka oleh-Nya.KB 43.5

    Pada tengah malam itu Paulus dan Silas berdoa dan menyanyikan lagu pujian kepada Tuhan. Tiba-tiba satu gempa bumi besar berlaku sehingga dasar penjara itu bergoncang. Aku melihat malaikat Tuhan telah melepaskan belenggu dari tangan setiap orang. Penguasa penjara terbangun dari tidurnya dan berasa sangat takut apabila melihat pintu-pintu penjara terbuka. Pada sangkaannya orang-orang tahanan itu telah melepaskan diri dan akibatnya dia akan dihukum bunuh. Ketika penguasa penjara itu hendak membunuh dirinya, Paulus berseru dengan suara yang kuat, katanya, “Jangan mencelakakan dirimu.” Kuasa Tuhan meyakinkan penguasa penjara itu. Dia menyuruh membawa suluh, lalu berlari masuk dan dengan gementar tersungkur di hadapan Paulus dan Silas. Dia membawa mereka keluar dan berkata, “Tuan-tuan, apakah yang harus aku buat supaya selamat?” Mereka berkata, “Percayalah kepada Tuhan Yesus Kristus, engkau dan seisi rumahmu akan selamat.” Penguasa penjara itu mengumpul seluruh isi rumahnya dan Paulus memberitakan Yesus kepada mereka. Hati penguasa penjara itu bersatu dengan saudara-saudara dan membasuh calar-calar Paulus dan murid-murid. Penguasa penjara itu dan seisi rumahnya kemudiannya dibaptiskan pada malam itu. Dia kemudiannya menyediakan makanan kepada mereka, bergembira dengan percaya dalam Tuhan, dia dan seluruh isi rumahnya.KB 44.1

    Berita gembira tentang kemuliaan kuasa Tuhan yang ditunjukkan dalam membuka pintu-pintu penjara di samping pertaubatan dan pembaptisan penguasa penjara dan keluarganya tersebar luas. Para pemerintah yang telah mendengar hal tersebut menjadi takut lalu menyampaikan pesan kepada penguasa penjara supaya membebaskan Paulus dan Silas dari penjara itu. Tetapi Paulus tidak mahu meninggalkan penjara itu secara senyap-senyap. Dia berkata kepada mereka, “Tanpa diadili mereka telah mendera kami warga negara Roma di khalayak ramai lalu melemparkan kami ke dalam penjara. Sekarang mereka mahu mengeluarkan kami dengan diam-diam?. Tidak mungkin demikian! Biarlah mereka datang sendiri dan membawa kami keluar.” Paulus dan Silas tidak rela pernyataan kuasa Tuhan itu harus disembunyikan. Sarjan penjara itu menyampaikan kata-kata itu kepada para majistret. Mereka menjadi takut setelah mendengar yang mereka adalah warga Roma. Majistret dan para penguasa itu datang memohon maaf kepada mereka dan meminta mereka keluar daripada kota itu.KB 44.2

    Rujuk : Kisah Para Rasul 14 & 16KB 44.3

    Larger font
    Smaller font
    Copy
    Print
    Contents