Loading...
Larger font
Smaller font
Copy
Print
Contents
  • Results
  • Related
  • Featured
No results found for: "".
  • Weighted Relevancy
  • Content Sequence
  • Relevancy
  • Earliest First
  • Latest First
    Larger font
    Smaller font
    Copy
    Print
    Contents

    5—Apa Yang Berlaku Selepas Kematian?

    Dari sejarah awal manusia, Syaitan telah memulakan usahanya untuk memperdayakan manusia. Dia yang menimbulkan pemberontakan di syurga, ingin membawa penduduk dunia untuk bergabung dengannya dalam peperangan menentang Tuhan. Adam dan Hawa pada asalnya sangat bahagia menuruti hukum-hukum Tuhan, dan ini menjadi peringatan berterusan penentangan yang Syaitan mulakan di syurga, bahawa hukum Tuhan bertujuan menindas dan bukan untuk kebaikan ciptaan-Nya. Lebih-lebih lagi, Syaitan iri hati melihat rumah indah yang telah disediakan untuk pasangan murni itu. Syaitan bertekad menjatuhkan mereka, supaya dia boleh memiliki dunia dan mula menubuhkan kerajaannya di bumi untuk menentang Yang Maha Tinggi.PA 46.1

    Sekiranya Syaitan mendedahkan keperibadiannya yang sebenar, dia pasti segera ditolak, kerana Adam dan Hawa telah diperingatkan tentang musuh bahaya ini; oleh itu dia bekerja dalam kegelapan, menyembunyikan rancangannya agar dia dapat memenuhi matlamatnya. Dia menggunakan ular sebagai pengantaranya, yang merupakan mahkluk yang amat luar biasa pada ketika itu, lalu ia berkata kepada Hawa: “Benarkah Allah melarang kamu makan buah daripada sebarang pokok di taman ini?” Kejadian 3:1. Sekiranya Hawa tidak bercakap dengannya, dia pasti selamat; tetapi dia berbalah dengannya lalu tertipu. Begitulah masih ramai yang ditipu Syaitan. Mereka meragui dan membantah tuntutan Tuhan; mereka rela menerima teori manusia iaitu tipu muslihat Syaitan berbanding mematuhi arahan llahi.PA 46.2

    “Kami boleh makan buah daripada setiap pokok di taman ini,” jawab perempuan itu, “kecuali buah pokok yang ada di tengah-tengah taman. Allah melarang kami makan buah pokok itu ataupun menyentuhnya; jika kami berbuat demikan, kami akan mati.” Ular itu menjawab, “Itu tidak benar; kamu tidak akan mati. Allah berfirman demikan kerana Dia tahu bahawa jika kamu makan buah itu, fikiran kamu akan terbuka; kamu akan menjadi seperti Allah dan mengetahui apa yang baik dan apa yang jahat.” Kejadian 3:2-5. Dia mendakwa bahawa mereka akan menjadi seperti Tuhan, mempunyai kecerdikan lebih dari sebelum dan dapat hidup dalam keadaan yang tinggi statusnya. Hawa terpedaya lalu melalui pengaruhnya memperdayakan Adam. Mereka menerima kata-kata ular itu; bahawa Tuhan tidak bermaksud dengan apa yang telah dikatakan-Nya; mereka tidak mempercayai Pencipta mereka dan mengganggap bahawa Dia menghalang kebebasan mereka agar mereka tidak dapat memperoleh kebijaksanaan dengan melanggar hukum-Nya.PA 47.1

    Tetapi apakah yang Adam fahami, setelah berdosa, dengan makna kata-kata, “pada hari engkau memakannya, pastilah engkau mati?” Adakah dia memahaminya seperti mana Syaitan mendorong kepercayaannya, bahawa dia akan dibawa ke kedudukan yang lebih tinggi? Sekiranya betul maka kebaikan dicapai bila hukum llahi dilanggar dan sememangnya Syaitan berjuang demi kebaikan manusia. Tetapi Adam tidak mendapati bahawa inilah maksud peryataan itu. Tuhan menyatakan sebagai hukuman dosa, manusia akan kembali ke tanah tempat asalnya: “Engkau dijadikan daripada tanah, dan engkau akan kembali ke tanah.” Kejadian 3:19. Kata-kata Syaitan, “Matamu akan terbuka,” terbukti benar dalam maksud ini sahaja: Selepas Adam dan Hawa mengingkari Tuhan, mata mereka terbuka untuk melihat kebodohan mereka sendiri; mereka mengenali kejahatan dan merasai kesan pahit akibat pelanggaran mereka.PA 47.2

    Di tengah-tengah taman Eden, terdapat pohon kehidupan yang buahnya berkuasa untukmengekalkan kehidupan. Sekiranya Adam mematuhi Tuhan, dia boleh terus menikmati buah dari pohon ini dan hidup selama-lamanya, tetapi apabila dia jatuh ke dalam dosa dia dipisahkan daripada pohon kehidupan dan dia pasti akan mati. Hukuman llahi, “Engkau dijadikan daripada tanah, dan engkau akan kembali ke tanah,” menunjukkan kepadanya kepastian kematian.PA 48.1

    Hidup kekal, dijanjikan kepada manusia dengan syarat dia patuh kepada hukum, telah dikorbankan bila hukum dilanggar. Adam tidak dapat mewariskan kepada zuriatnya apa yang dia tidak punyai; dan bangsa manusia sememangnya tiada harapan tanpa Tuhan yang mengorbankan Anak-Nya, memberi mereka peluang mencapai kehidupan yang kekal. Walaupun “maut menjangkiti segenap umat manusia, kerana semua orang berdosa,” Kristus “membawa hidup yang kekal melalui Berita Baik itu.” Roma 5:12; 2 Timotius 1:10. Hanya melalui Kristus barulah hidup kekal dapat diperolehi. Kata Yesus: “Sesiapa yang percaya kepada Anak itu beroleh hidup sejati dan kekal, tetapi sesiapa yang tidak taat kepada Anak itu tidak akan beroleh hidup itu.” Yohanes 3:36, Setiap manusia mempunyai peluang untuk memiliki rahmat tak terhingga ini sekiranya dia memenuhi syarat. Semua “yang sentiasa berbuat baik, dan mengharapkan kemuliaan, penghormatan, dan hidup yang kekal,” akan menerima “hidup sejati dan kekal.” Roma 2:7.PA 48.2

    Satu-satunya orang yang menjanjikan kehidupan tanpa penurutan adalah penipu besar. Dan kenyataan ular di Eden — “Sekali-kali kamu tidak akan mati” — merupakan khotbah pertama yang diberikan mengenai kekekalan hidup. Tetapi pernyataan ini, hanya berdasarkan kepada kata-kata Syaitan, kini kedengaran juga dari mimbar Kristian dan diterima ramai manusia sebagaimana ia diterima oleh ibu bapa pertama kita. Firman llahi, “Jiwa yang berdosa akan mati.” (Yehezkiel 18:20), diolah supaya bermaksud: Jiwa yang berdosa, tidak akan mati, tetapi hidup kekal. Kita pegun dengan ketidaksedaran manusia yang terlalu mudah mempercayai kata-kata tipu muslihat Syaitan mengenai kata-kata Tuhan.PA 49.1

    Sekiranya selepas kejatuhan manusia, Adam dan Hawa diberikan kebebasan mendekati pohon kehidupan, maka Adam dan Hawa akan terus hidup kekal, menyebabkan dosa juga kekal selama-lamanya. Tetapi malaikat dengan pedangnya “mengawasi pohon kehidupan” (Kejadian 3:24), dan tiada seorangpun keluarga Adam dibenarkan melintas kawasan itu untuk menikmati buah dari pohon kehidupan itu. Oleh itu tidak wujudlah orang berdosa yang hidup kekal.PA 49.2

    Selepas Kejatuhan, Syaitan menyuruh pengikut-pengikutnya untuk menanam kepercayaan manusia mengenai kekekalan abadi; dengan mempengaruhi hati manusia untuk menerima kesilapan ini, manusia menyimpulkan bahawa orang-orang berdosa akan hidup menderita selama-lamanya. Kini penguasa kegelapan, melalui agennya, menuduh Tuhan sebagai penzalim yang melemparkan ke dalam neraka semua orang yang tidak menyenangkan-Nya, supaya ketika mereka merasai kamarahan-Nya dan menggeliang-geliut di api kekal, Pencipta mereka akan berpuas hati memandang kesengsaraan mereka.PA 49.3

    Begitulah Iblis menjelaskan tentang Pencipta manusia dengan sifatnya sendiri. Syaitan sebenarnya kejam. Tuhan adalah kasih dan semua yang Dia ciptakan adalah suci, kudus dan cantik, sehingga dosa dibawa masuk oleh pemberontak pertama. Syaitan adalah musuh yang menggoda manusia untuk berdosa dan kemudian membinasakan mereka sekiranya dia dapat, dan bilamana tawanannya sudah diperolehi, dia bergembira dalam kemusnahan yang telah dia rancangkan. Jika dibenarkan, dia akan menjerat seluruh umat manusia dalam perangkapnya. Tanpa campur-tangan Tuhan, tidak satupun anak Adam dan Hawa akan terlepas.PA 50.1

    Syaitan ingin menewaskan setiap orang satu persatu, sebagaimana dia menewaskan ibu bapa kita yang pertama dengan menggoyangkan kepercayaan mereka dengan Pencipta dan membawa mereka meragui kerajaan-Nya dan kebenaran hukum-Nya. Syaitan dan pengikutnya mendedahkan Tuhan sebagai lebih teruk daripada dirinya sendiri, demi memberi alasan dalam pemberontakan mereka. Penipu besar mahu menuding sifat kejamnya kepada Tuhan supaya dia nampak sebagai telah dipersalahkan bila dia dibuang dari Syurga kerana mengingkari kerajaan yang tidak adil. Dia mempersembahkan kepada dunia kebebasan yang mereka boleh nikmati di bawah naungannya, bertentangan dengan kongkongan yang diharuskan oleh Yahweh. Begitulah cara syaitan berjaya memperdaya manusia mengingkari Tuhan.PA 50.2

    Doktrin yang mengatakan orang-orang jahat diseksa di dalam neraka kekal amat bertentang dengan kasih, belas kasihan dan keadilan; kerana dosa kehidupan ketika di dunia, dan doktrin ini diajar secara meluas dan masih diajar oleh gereja Kristian. Menurut orang terpelajar dalam bidang ini: “Kesengsaraan neraka akan membahagiakan orang suci selama-lamanya. Bila mereka melihat manusia yang sama seperti mereka sengsara sebegitu, sedangkan mereka terselamat, betapa gembiranya mereka.” Kata seorang lagi: “Pada masa orang di neraka sedang menjalani hukuman mereka, asap kesengsaraan mereka akan dilihat oleh orang suci dan mereka akan memuji Tuhan!”PA 50.3

    Di manakah wujudnya ajaran sebegitu dalam Firman Tuhan? Adakah individu di Syurga kehilangan segala perasaan belas kasihan dan simpati, dan lupa bahawa mereka juga manusia? Adakah mereka menukarkan sifat perikemanusiaan mereka dengan kekejaman ganas? Tidak, itu bukan ajaran daripada Kitab Tuhan. Mereka yang mempercayai kata-kata petikan di atas terdiri dari golongan terpelajar dan juga jujur, tetapi mereka telah ditipu oleh Syaitan. Dia telah menipu mereka untuk mentafsir pernyataan Kitab Suci yang tegas sebagai penuh kepahitan dan rasa dendam, sifat Syaitan yang sebenarnya, tetapi bukan sifat Pencipta. “Beritahulah mereka bahawa demi Aku, Tuhan Raja, Allah yang hidup, Aku tidak suka melihat orang berdosa mati. Aku lebih suka melihat mereka bertaubat dan hidup. Berhentilah berbuat dosa! Mengapakah kamu mahu mati?” Yehezkiel 33:11.PA 51.1

    Apakah faedahnya kepada Tuhan sekiranya kita mengakui bahawa Dia suka melihat penyeksaan berterusan? Adakah Dia terhibur dengan rintihan dan jeritan makhluk menderita yang dilemparkan-Nya ke dalam api neraka? Adakah bunyi mengerikan ini menjadi muzik di telinga Yang Maha Pengasih? la menjelaskan bahawa kesengsaraan berterusan oleh orang keji memaparkan kebencian Tuhan terhadap dosa kerana ia telah merosakkan keamanan dan keharmonian dunia. Oh, satu penghujatan dahsyat! Seolah-olah kebencian Tuhan terhadap dosa adalah sebab dosa berlaku. Menurut kata-kata individu ini, kesengsaraan berterusan tanpa belas kasihan menyeksakan mangsa tersebut menyebabkan mereka menyumpah lalu mereka terus berbalah dan menambahkan lagi dosa mereka. Kemuliaan Tuhan tidak bertambah dengan membiarkan dosa selama-lamanya.PA 51.2

    Manusia tidak mungkin menyedari kesan kejahatan yang disebabkan oleh penyesatan seksaan kekal. Agama Kitab Suci, penuh dengan kasih dan kebaikan dan belas kasihan yang tidak terhingga, digelapkan dengan kepercayaan karut dan diselubungi dengan kegerunan. Bila kita melihat cara keperibadian Tuhan dipaparkan oleh Syaitan, hairankah kita mendengar Pencipta penyayang kita ditakuti, digeruni dan juga dibenci? Pandangan dahsyat mengenai Tuhan yang telah disebarkan ke seluruh dunia daripada ajaran sesat di mimbar telah membuatkan jutaan orang meragui kasih Tuhan dan menjadi tidak beriman.PA 52.1

    Penyeksaan kekal merupakan salah satu doktrin palsu yang mencabul kota Babel dan merosakkan semua bangsa, seperti wain yang memabukkan mereka. Wahyu 14:8; 17:2. Adalah menjadi misteri bagaimana penginjil Kristus menerima penyesatan ini dan menyuarakannya daripada mimbar masing-masing. Mereka menerimanya daripada Rom, ketika mereka menerima sabat palsu. Memang benaria diajar oleh manusia yang ternama dan baik; tetapi mereka belum berpeluang mengetahui kebenaran yang kita ketahui sekarang. Sebagaimana mereka, pada masa itu, bertanggungjawab menyebarkan apa yang telah diberikan kepada mereka, kita juga bertanggungjawab sedemikian. Tetapi sekiranya sekarang kita berpaling daripada Firman Tuhan dan menerima doktrin-doktrin palsu kerana nenek-moyang kita mengajarkannya, kita jatuh di bawah penghukuman yang dijatuhkan ke atas Babel; kita meminum anggur hawa natsu cabulnya.PA 52.2

    Satu golongan besar yang mempercayai doktrin ini pula mempunyai pendapat yang bertentangan. Mereka melihat bahawa Kitab Suci menunjukkan Tuhan sebagai pengasih dan penyayang dan tidak percaya bahawa Dia akan melemparkan makhluk-Nya kepada neraka membara yang kekal. Tetapi dengan kepercayaan bahawa jiwa adalah abadi, mereka menyimpulkan bahawa semua manusia pasti akan diselamatkan. Ramai menganggap bahawa amaran dalam Kitab Suci bertujuan menakutkan manusia agar mereka taat, dan ianya tidak akan berlaku. Dengan itu, orang-orang berdosa boleh hidup dalam keseronokan sendiri, tidak mengendahkan tuntutan Tuhan, tetapi akan diterima-Nya juga. Doktrin seperti itu, mengandaikan Tuhan berbelas kasihan, tetapi tidak mengendahkan keadilan-Nya, menyenangkan hati duniawi lalu membiarkan orang keji berlerusan dengan kelakuan mereka.PA 53.1

    Sebagai bukti bagaimana individu sebegini memutarbelitkan Kitab Suci untuk meyokong kepercayaan mereka, kita boleh mengambil daripada pernyataan mereka sendiri. Semasa perhimpunan seorang jejaka yang tidak bermoral, individu sebegini memetik kata-kata Daud dari Kitab Suci, “Lama juga Raja Daud berkabung untuk Amnon, tetapi ketika Raja Daud tidak sedih lagi, baginda sangat merindukan Absalom.” 2 Samuel 13:38-39.PA 53.2

    “Sering kali saya ditanya” kata orang itu, “apakah penghujung kehidupan mereka yang meninggalkan dunia ini tetapi masih dalam dosa, dimana seperti jejaka ini, mereka mati tanpa pernah memikirkan tentang kepentingan agama. Kita boleh merujuk kepada penjelasan yang diberi Kitab Suci. Amnon seorang yang berdosa. Dia tidak pernah menyesal atas perbuatannya, dia seorang pemabuk dan semasa dia mabuk, dia dibunuh. Daud adalah nabiTuhan; dia pasti mengetahui sama ada Amnon akan diselamatkan atau tidak. Apakah yang dikatakannya? “Lama juga Raja Daud berkabung untuk Amnon, tetapi ketika Raja Daud tidak sedih lagi, baginda sangat merindukan Absalom.” 2Samuel 13:38-39.PA 53.3

    “Apakah yang difahami dari petikan ini? Tidakkah ia mengatakan bahawa tidak wujud kesengsaraan dalam agama? Jadi kita lihat, di sinilah terdapat hujah menyokong kepercayaan bahawa pengakhiran alam semesta seharusnya lebih menyenangkan, iaitu berakhir dengan keharmonian dan kesejahteraan. Daud ditenangkan memikirkan kematian anaknya. Kenapa pula? Kerana mata nubuatannya memandang ke masa depan dan melihat keadaan dimana anaknya jauh dari segala godaan, dan selepas dikuduskan dan dimurnikan dari segala samar dosa, dimasukkan ke perhimpunan roh yang riang. Daud tenang mengetahui anaknya dikeluarkan dari keadaan yang penuh dosa dan kesengsaraan, tetapi berada di persekitaran yang dimana Roh Kudus boleh mengajar jiwa dan mindanya dipenuhi dengan kebijaksanaan syurga lalu menikmati kasih kurnia kekal dan dikuduskan untuk berehat dalam kebaikan syurga.PA 54.1

    “Dalam pedoman ini, kita tahami bahawa penebusan dosa tidak bergantung kepada apa yang kita lakukan di dunia ini; atau sama ada hati kita diperbaharui, atau kepercayaan atau agama kita sekarang.”PA 54.2

    Begitulah penginjil-penginjil Kristus mengulangi kata-kata palsu yang diucapkan oleh ular di Eden, “Sekali-kali kamu tidak akan mati.” “Pada waktu kamu memakannya, matamu akan terbuka dan kamu akan menjadi seperti Allah.” Dia mengatakan bahawa orang-orang berdosa yang paling keji — pembunuh, pencuri, penzina — selepas kematian akan memasuki firdaus kekal.PA 54.3

    Dan apakah sumber tipu helah ini? Dari satu ayat bila mana Daud akur menerima hakikat kematian anaknya. Jiwanya “sangat merindukan Absalom” 2 Samuel 13:39. Kepiluan dalam hatinya sebenarnya berkurangan dengan perlaluan masa, dan tikirannya pada masa itu memikirnya anaknya, yang masih hidup jauh darinya kerana takut akan hukuman yang bakal dihadapinya. Dan inilah bukti yang digunakan untuk menyatakan bahawa Amnon yang pemabuk yang telah merogol adiknya kini, setelah mati telah dikuduskan dan dimurnikan di syurga khas untuk malaikat yang tidak berdosa! Dongeng yang menarik dan sesuai untuk menyenangkan hati duniawi! Inilah doktrin Syaitan sendiri dan ia berkesan. Dengan itu, hairankah kita sekiranya arahan sebegitu melambakkan lagi kejahatan dunia ini?PA 55.1

    Cara yang diikuti oleh satu guru sesat ini menggambarkan laluan yang diikuti oleh ramai yang lain. Beberapa patah perkataan diambil luar dari maksud asal, sekiranya dibaca dalam erti kata benar menyatakan maksud yang bertentangan dari apa yang dikatakan: dan petikan sebegini diputarbelit dan digunakan sebagai asas bagi doktrin yang tidak mempunyai asas dalam Firman Tuhan. Pernyataan yang digunakan sebagai asas bahawa Amnon berada di syurga adalah bertentangan dengan pernyataan dalam 1 Korintius 6:10 yang menyatakan bahawa tiada pemabuk akan memasuki syurga.PA 55.2

    Sekiranya benar bahawa semua orang akan terus ke syurga pada saat pengakhiran, lebih baik kita mati daripada hidup. Ramai orang yang mempercayai pernyataan ini akan terdorong untuk membunuh dirinya. Amat mudah sekali untuk mengakhiri kehidupan yang dipenuhi kesusahan dan kekecewaan sekiranya kita terus memasuki kebahagiaan dunia kekal, sejurus selepas semua ini berakhir.PA 55.3

    Tuhan dengan tegas telah menyatakan dalam Firman-Nya bahawa Dia akan menghukum sesiapa yang melanggarm hukum-Nya. Mereka yang memikirkan Tuhan terlalu berbelas kasihan sehingga tidak sanggup menjatuhkan hukuman ke atas orang-orang berdosa hanya harus melihat realiti pada salib di Kalvari. Kematian Anak Tuhan membuktikan “upah dosa adalah maut” (Roma 6:23), dan setiap perlanggaran hukum Tuhan akan menerima padahnya. Kristus yang tidak berdosa menanggung dosa bagi manusia. Dia memikul hukuman pelanggaran dan wajah Bapa-Nya terselindung dari-Nya sehingga hati-Nya hancur dan nyawa-Nya berakhir. Semua ini dilakukan supaya orang-orang yang berdosa boleh ditebus. Dan setiap jiwa yang enggan menerima penebusan oleh pengorbanan sebesar itu harus memikul sendiri kesalahan dan hukuman pelanggaran.PA 56.1

    Sekarang mari kita lihat apakah yang dinyatakan Kitab Suci mengenai orang yang tidak memerlukan Tuhan, yang tidak bedaubat, yang dikatakan berada di syurga bergembira dan suci seperti malaikat.PA 56.2

    “Orang yang dahaga akan Aku berikan air minum dengan percuma dari sumber air yang memberikan hidup.” Wahyu 21:6. Janji ini hanya bagi mereka yang dahagakan air kehidupan. “Sesiapa yang menang akan menerima hak ini daripada-Ku: Aku akan menjadi Allahnya, dan dia akan menjadi anak-Ku.” Wahyu 21:7. Di sini juga syarat-syarat telah diperincikan. Demi mewarisi semua perkara, kita mesti melawan dan mengalahkan dosa.PA 56.3

    Tuhan melalui nabi Yesaya berkata: “Orang yang taat kepada-Ku akan bahagia dan selamat.” “Tetapi malanglah orang jahat! Mereka akan diperlakukan sebagaimana mereka telah memperlakukan orang lain.” Yesaya 3:10, 11. “Walaupun orang berdosa melakukan seratus kejahatan, mereka terus hidup. Memang aku tahu orang berkata, “Orang yang taat kepada Allah akan hidup senang, tetapi orang jahat akan hidup susah. Hidup orang jahat cepat berlalu seperti bayang-bayang, dan cepat mereka akan mati semasa muda kerana tidak taat kepada Allah.” Pengkhutbah 8:12-13. Paulus pula menyatakan “Orang-orang berdosa mengumpulkan padanya hukuman semakin berat pada Hari Kiamat apabila Allah menyatakan kemurkaan-Nya dan menjatuhkan hukuman yang adil. Hal itu demikian, kerana Allah akan membalas setiap orang setimpal dengan perbuatannya.” “Setiap orang yang berbuat jahat akan menanggung kesengsaraan dan penderitaan.” Roma 2:5, 6, 9.PA 56.4

    “Orang yang melakukan perbuatan cabul, atau yang tidak senonoh, ataupun yang tamak (ketamakan seperti penyembahan berhala), tidak akan menikmati Pemerintahan Kristus dan Allah.” Efesus5:5 “Berusahalah untuk hidup rukun dengan semua orang. Berusahalah untuk hidup suci, khas bagi Tuhan, kerana tidak seorang pun akan melihat Tuhan jika tidak hidup seperti itu.” Ibrani 12:14. “Berbahagialah orang yang mencucijubah mereka sehingga bersih. Mereka berhak makan buah pokok sumber kehidupan dan masuk ke dalam kota melalui pintu gerbang. Tetapi orang yang melakukan perbuatan cabul, orang yang mengamalkan ilmu ghaib, orang yang lucah, pembunuh, orang yang menyembah berhala, dan orang yang berdusta baik dengan kata-kata mahupun dengan perbuatan, tidak dibenarkan masuk ke dalam kota.” Wahyu 22:14,15.PA 57.1

    Tuhan telah memberikan kepada manusia pernyataan mengenai kaedah menghadapi dosa. “Aku Tuhan, Allah yang penuh dengan rahmat dan belas kasihan; Aku tidak cepat murka, dan Aku menunjukkan kasih dan kesetiaan yang besar. Aku menepati janji-Ku kepada beribu-ribu keturunan, serta mengampunkan kejahatan dan dosa, tetapi Aku tidak akan membebaskan orang bersalah daripada hukuman.” Keluaran 34:6-7. “Dia melindungi semua orang yang mengasihi Dia, tetapi Dia membinasakan orang yang jahat.” “Orang yang berdosa akan dibinasakan, dan keturunan mereka pun dihapuskan.” Mazmur 145:20; 37:38. Kuasa kerajaan llahi akan digunakan untuk menghapuskan pemberontakan; namun proses itu akan berlaku sejajar dengan sikap Tuhan yang mengasihani, berbelas kasihan dan suci berhati baik.PA 57.2

    Tuhan tidak memaksa umatnya untuk menurut kehendak atau keputusan-Nya. Dia tidak menerima penurutan tanpa pemikiran. Dia ingin supaya makhluk ciptaan-Nya mengasihi-Nya kerana Dia memang layak untuk dikasihi. Dia mahu mereka mencintai-Nya kerana mereka tertarik kepada-Nya, kesan menyanjungi hikmat-Nya.PA 58.1

    Prinsip-prinsip kerajaan llahi adalah selari dengan prinsip kebaikan, belas kasihan dan kasih sayang, yang diajar dan dilakukan menurut kehendak dan sikap Tuhan. Kristus menyatakan bahawa Dia tidak mengajar apa-apa selain daripada apa yang diterimanya daripada Tuhan Bapa. Prinsip kerajaan llahi selari dengan ajaran Juruselamat, “Kasihilah musuhmu” Matius 5:44. Tuhan menghukum orang-orang fasik demi kebaikan alam semesta dan juga bagi kebaikan mereka yang dijatuhkan hukuman oleh-Nya. Dia mampu menggembirakan mereka sekiranya mereka dihukum menurut hukum dan kebenaran sitat-Nya. Dia mengelilingi mereka dengan tanda kasih-Nya dan membenarkan mereka memahami maksud hukum-Nya dan mengikuti mereka dengan penuh belas kasihan; tetapi mereka mencemuh kasih-Nya, melanggar hukum-Nya dan menolak belas kasihan-Nya. Walaupun sentiasa menerima anugerah-Nya, mereka menghina Pemberi kerana mereka mengetahui bahawa Dia benci dosa. Tuhan lama bersabar dengan sikap memberontak mereka; tetapi masa akhirnya akan datang bila nasib mereka ditentukan. Adakah Dia akan merantai pemberontak-pemberontak ini kepada pihak-Nya, memaksa mereka untuk melakukan kehendak-Nya?PA 58.2

    Mereka yang memilih Syaitan sebagai ketua mereka dan telah dikawal oleh kuasanya tidak bersedia untuk memasuki hadirat Tuhan. Keangkuhan, penipuan, keganasan, kekejaman, telah sebati di dalam keperibadian mereka. Bolehkah mereka memasuki syurga untuk tinggal selama-lamanya dengan orang-orang yang mereka benci di dunia? Kebenaran tidak akan seiring dengan pembohongan; kelembutan tidak akan memuaskan pengagungan diri; kesucian tidak akan menerima penyelewengan; kasih tidak penting diri tidak menarik minat mereka yang mementingkan diri sendiri. Apakah keseronokan yang boleh ditawarkan syurga bagi mereka yang mempunyai kecenderungan sebegini?PA 59.1

    Bolehkah mereka yang dipenuhi dengan kebencian terhadap Tuhan, tiba-tiba dibawa ke syurga untuk menyaksikan keadaan bermoral tinggi, suci di mana setiap wajah gembira, dan irama merdu dibunyikan menyembah Tuhan dan Domba, dipenuhi cahaya terang dari Dia yang menduduki takhta, -mungkinkah hati yang membenci Tuhan, kebenaran dan kesucian bergaul dengan hadirat syurga dan bersama-sama memuji Tuhan? Bolehkah mereka menerima kemuliaan Tuhan dan Domba? Tidak, tidak; masa percubaan selama bertahun-tahun tidak mampu melatih minda mereka untuk mengasihi kesucian. Mereka tidak pernah mempelajari bahasa syurga. Kini sudah terlambat. Kehidupan yang memberontak terhadap Tuhan menyebabkan mereka tidak bersedia memasuki syurga. Kesucian dan kedamaiannya akan menyseksa mereka. Kemuliaan Tuhan adalah api yang membakar. Mereka ingin untuk meninggalkan tempat suci itu. Mereka mengalu-alukan kebinasaan, agar boleh bersembunyi daripada wajah Dia yang mati untuk menebus mereka. Takdir orang-orang fasik ditentukan oleh pilihan mereka sendiri. Pengecualian mereka daripada syurga adalah tindakan sukarela mereka, dan Tuhan bertindak adil dan berbelas kasihan.PA 59.2

    Air banjir di masa Nabi Nuh dan gelora api pada akhirat mengumumkan hukuman Tuhan untuk orang-orang fasik adalah pasti. Mereka tiada kemahuan untuk menuruti kehendak llahi. Kehendak mereka adalah untuk memberontak. Apabila nyawa berakhir, sudah terlambat untuk mengembalikan fikiran mereka kepada arahan yang berlawanan, terlalu lambat untuk mengubah cara yang asyik melawan kepada penurutan, daripada benci kepada kasih.PA 60.1

    Dalam penerusan kehidupan Kain, Tuhan memberi contoh apa akan berlaku sekiranya Dia membenarkan orang berdosa hidup selama-lamanya. Melalui pengaruh ajaran dan teladan Kain, amat ramai ahli keluarganya yang terpengaruh dan jatuh dalam dosa, sehingga, “Tuhan nampak betapa jahatnya manusia di bumi; fikiran mereka sentiasa dipenuhi kejahatan” dan “semua orang lain jahat di sisi Allah, dan kekejaman terdapat di mama-mana.” Kejadian 6:5, 11.PA 60.2

    Dalam kasih-Nya kepada dunia, Tuhan mengakhiri kekejian penduduk semasa zaman Nuh. Dalam kasihnya dia memusnahkan orang Sodom. Melalui tipu helah dan kekuasaan Syaitan, ramai terpedaya lalu mengasihani dan menyanjung pengikut Syaitan, lalu turut menyokong pemberontakannya. Seperti pada zaman Kain dan Nuh, begitu juga dengan masa Abraham dan Lot; begitu juga pada masa kita. Kasih Tuhan kepada alam yang akhirnya akan mengakhiri nasib setiap mereka yang menolak kasih-Nya.PA 60.3

    “Kematian adalah upah dosa, tetapi hidup sejati dan kekal bersama-sama Kristus Yesus Tuhan kita adalah anugerah Allah.” Roma 6:23. Kehidupan adalah upah orang-orang benar, kematian pula adalah bahagian orang-orang fasik. Kata Musa kepada orang Israel, “Pada hari ini buatlah pilihan antara yang baik dan yang jahat, antara hidup dan maut.” Ulangan 30:10. Kematian yang disebut dalam ayat-ayat ini tidak diberi kepada Adam, atau seluruh umat manusia tetapi merupakan “Kematian kedua” yang dibandingkan dengan kehidupan kekal. Wahyu 20:14.PA 60.4

    Akibat dosa Adam, kematian diwarisi oleh semua manusia. Semua dikuburkan. Dan melalui rancangan keselamatan, semua orang akan dikeluarkan dari kubur mereka: “Semua orang akan dibangkitkan daripada kematian-orang baik, mahupun orang jahat;” “sebagaimana semua orang mati kerana tergolong satu dengan Adam, begitu juga semua orang akan dihidupkan semula kerana tergolong satu dengan Kristus” Kisah Rasul-Rasul 24:15; 1 Korintus 15:22. Tetapi pengasingan dibuat di antara kedua golongan yang dibangkitkan: “Akan tiba masanya apabila semua orang mati akan mendengar suara-Nya, lalu keluar dari kubur. Orang yang berbuat baik akan bangkit dan hidup, tetapi orang yang berbuat jahat akan bangkit dan dihukum.” Yohanes 5:28, 29. Mereka yang telah “dikira suci” menerima kebangkitan kehidupan kekal “berbahagia dan suci” (Lukas 20:35) dimana “kematian kedua tidak berkuasa ke atas mereka.” Wahyu 20:6. Tetapi mereka yang tidak mendapat pengampunan melalui pertaubatan dan keimanan mesti menerima “upah dosa,” iaitu hukuman “menurut kepada perbuatan mereka,” dan berakhir dengan “kematian kedua.” Memandangkan adalah mustahil bagi Tuhan, selari dengan prinsip kebenaran dan kasih-Nya, menyelamatkan orang-orang berdosa di dalam dosa mereka, Dia membiarkan mereka dalam belengu pelanggaran mereka dimana ia adalah pilihan mereka sendiri yang tidak melayakkan diri mereka ke syurga. Menurut kata nabi, “Orang yang jahat akan lenyap dengan segera; walaupun dicari mereka tidak akan dijumpai.” Menurut seorang lagi, “Mereka akan lenyap tanpa bekas.” Mazmur 37:10; Obaja 16. Hanyut atas pilihan sendiri, mereka tenggelam dilupakan selama-lamanya.PA 61.1

    Begitulah pengakhiran dosa, dengan semua kesengsaraan dan keperitan kesan kewujudannya. “Engkau telah menghukum bangsa-bangsa yang tidak mengenal-Mu, dan membinasakan orang jahat; mereka tidak akan dikenang lagi. Musuh kami lenyap selama-lamanya; Engkau telah memusnahkan kota-kota mereka, dan mereka dilupakan sama sekali.” Mazmur 9: 6, 7. Yohanes di dalam Wahyu mendengar lagu puji-pujian universal yang tidak diganggu oleh perbalahan. Semua ciptaan di syurga kedengaran memuji Tuhan. Wahyu 5:13. Tiada jiwa yang sesat menghujat Tuhan kerana mereka menggeliang-geliut di seksaan yang tidak berakhir. Tidak kedengaran jeritan kesakitan bercampur dengan lagu-lagu mereka yang diselamatkan.PA 62.1

    Berdasarkan doktrin salah mengenai kehidupan kekal, doktrin kesedaran semasa kematian dibina -seperti seksaan kekal, ia bertentangan dengan Kitab Suci, bertentangan dengan logik dan perasaan kemanusiaan kita. Munurut kepercayaan ini, orang yang telah ditebus berada di syurga dan menyedari semua yang berlaku di dunia, keadaan keluarga dan sanak-saudara yang telah mereka tinggalkan. Tetapi bagaimanakah mereka yang mati boleh merasa bahagia mengetahui masalah orang yang hidup, melihat dosa yang mereka lakukan, kebertahanan mereka bila kesedihan, atau kecewaan mereka dan keazaban hidup? Mungkinkah kebahagiaan syurga dinikmati oleh individu yang sedang mengikuti perkembangan keluarga mereka di dunia? Atau betapa menjijikkan memikirkan bahawa sebaik sahaja orang yang tidak bertaubat mati, jiwa mereka akan dihantar ke neraka untuk diseksa! Betapa sedihnya hati keluarga yang ditinggalkan memikirkan nasib ahli keluarga yang tidak bersedia memulakan kehidupan sengsara bila mati! Ramai telah menjadi gila memikirkan hal ini.PA 62.2

    Apa kata Kitab Suci? Daud menyatakan, manusia tidak akan sedar setelah mati. “Apabila mereka mati, mereka kembali ke tanah; pada hari itu segala rancangan mereka musnah.” Mazmur 146:4. Solomon juga menyatakan, “Orang yang masih hidup tahu bahawa mereka akan mati, tetapi orang yang telah mati tidak tahu apa-apa pun.” “Kasih, kebencian, dan nafsu mereka, semuanya lenyap bersama-sama mereka. Mereka tidak lagi mengambil bahagian dalam apa-apa hal yang berlaku di dunia ini.” “Jalankanlah segala tugasmu dengan sungguh-sungguh, kerana di dunia orang mati tiada pekerjaan, fikiran, pengetahuan, ataupun hikmat lagi.” Pengkhutbah 9:5, 6, 10.PA 63.1

    Raja Hezekiah memuji Tuhan kerana memanjangkan kehidupannya selama 15 tahun. Dalam pujiannya, dia menyatakan, “Tiada sesiapa pun di alam maut yang dapat memuji-Mu; orang mati tidak dapat mengharapkan kesetiaan-Mu. Hanya orang hidup yang memuji Engkau, seperti sekarang aku memuji Engkau.” Yesaya 38:18,19. Teologi popular menyatakan bahawa orang baik akan terus ke syurga memuji Tuhan untuk selama-lamanya; tetapi Hezekiah tidak berpandangan sebegitu. Penyataannya bersependapat dengan Daud: “Tuhan, datanglah dan selamatkanlah aku, selamatkahlah aku daripada maut demi kasih-Mu.” “Tuhan tidak dipuji oleh orang mati, orang yang sudah turun ke alam yang sunyi.” Mazmur 6:5, 115:17.PA 63.2

    Petrus pada hari Pentakosta menyatakan, Daud “sudah meninggal dan dikuburkan, dan kuburnya masih ada antara kita sehingga sekarang. “Daud sendiri tidak naik ke syurga.” Kisah Rasul-Rasul 2:29, 34. Kenyataan bahawa Daud kekal di dalam kubur sehinggalah kebangkitan membuktikan bahawa orang-orang benar tidak akan pergi ke syurga selepas kematian. Hanya melalui kebangkitan, melalui kebenaran kebangkitan Kristus, barulah Daud akhirnya boleh duduk bersebelahan dengan Tuhan.PA 63.3

    Paulus berkata: “Jika orang mati tidak dibangkitkan, maka Kristus pun tidak dibangkitkan. Jika Kristus tidak dibangkitkan daripada kematian, maka kepercayaan kamu itu khayalan belaka dan kamu masih dikuasai dosa. Hal itu juga bererti orang yang percaya kepada Kristus dan yang sudah mati, semuanya tidak mempunyai harapan.” 1 Korintus 15:16-18. Sekiranya selama 4,000 tahun orang-orang benar telah terus pergi ke syurga selepas mati, bagaimana pula Paulus mengatakan bahawa tanpa kebangkitan, “binasa juga orang-orang yang mati dalam Kristus.” Jika benar, kebangkitan tidak diperlukan.PA 64.1

    Tyndale, bila merujuk kepada keadaan setelah mati menyatakan: “Saya nyatakan, saya tidak percaya bahawa mereka yang telah mati terus ke syurga bersama Kristus atau malaikat suci. Kerana jika benar, maka perkara kebangkitan yang saya syorkan tersia-sia sahaja.” William Tyndale, Prakata Perjanjian Baru (ed. 1534). Dicetak semula di British Reformers—Tindal, Frith, Barnes, halaman 349.PA 64.2

    Menjadi fakta bahawa harapan hidup kekal setelah mati menyebabkan ramai orang mengabaikan doktrin Kitab Suci mengenai kebangkitan semula. Ini telah dinyatakan oleh Dr. Adam Clarke: “Doktrin kebangkitan semula lebih diambil-berat oleh Orang Kristian dahulu berbanding sekarang! Kenapa! Guru-guru dahulu selalu bercakap tentang kebangkitan, mengghairahkan pengikut Tuhan agar taat dan bergembira mengenangkannya. Berbanding dengan guru-guru zaman sekarang yang jarang menyebutkannya! Jadi bila guru menyebutkannya, orang Kristian awal mempercayai; jadi jika kita menyebutkannya, pendengar kita akan percaya. Inilah doktrin dan berita baik yang amat dipentingkan tetapi inilah doktrin yang paling diabaikan pada zaman kini!” Komentari, ulasan 1 Korintus 15, perenggan 3.PA 64.3

    Ini telah berlarutan sehingga kebenaran mulia kebangkitan hampir lenyap dan dilupakan oleh dunia Kristian. Begitulah kata-kata seorang penulis lain yang mengulas kata-kata Paulus di 1 Tesalonika 4:14-18 yang menyatakan: “Demi untuk kita, doktrin hidup kekal orang baik memastikan kita tidak meragui doktrin kedatangan Yesus. Setelah kita mati, Tuhan kita pasti datang. Itulah harapan kita. Jika orang mati sudah masuk ke syurga, maka rmereka tidak perlu menunggu penghakiman atau kebahagiaan.”PA 65.1

    Pada ketika hampir meninggalkan murid-murid-Nya, Yesus tidak memberitahu mereka bahawa mereka akan datang mengikuti-Nya. “Aku akan pergi menyediakan tempat untuk kamu,” kata-Nya. “Setelah Aku pergi menyediakan tempat untuk kamu, Aku akan kembali lalu membawa kamu ke tempat-Ku, supaya kamu tinggal di tempat Aku tinggal.” Yohanes 14:2, 3. Paulus menerangkan dengan lebih lanjut bahawa “pada masa itu malaikat agung akan berseru dengan suara yang kuat dan trompet Allah dibunyikan, lalu Tuhan sendiri akan turun dari syurga. Mereka yang percaya kepada Kristus dan sudah meninggal dunia akan dihidupkan terlebih dahulu. Kemudian kita yang masih hidup pada waktu itu akan diangkat bersama-sama mereka ke awan untuk berjumpa dengan Tuhan di angkasa. Lalu kita akan bersama-sama Tuhan selama-lamanya. Oleh itu, hendaklah kamu saling membesarkan hati dengan kata-kata ini.” 1 Tesalonika 4:16-18. Betapa jauhnya perbezaan antara kata-kata ini berbanding dengan kata-kata individu di awal bab ini. Individu tersebut menyatakan bahawa walau betapa berdosanya seseorang, bila dia mati di bumi, dia akan ke syurga. Paulus mengarahkan kita melihat ke hadapan bila Yesus datang dan belenggu kubur akan terbuka dan “orang yang mati dalam Kristus” akan bangkit dan hidup kekal.PA 65.2

    Semua yang telah memasuki syurga akan dihakimi dan keperibadian mereka akan dikaji semula oleh Tuhan. Semua akan dihakimi berdasarkan kepada perkara yang tertulis dalam kitab dan diberikan ganjaran setimpal dengan perbuatan mereka. Penghakiman ini tidak berlaku semasa kematian. Kata Paulus: “Dia sudah menetapkan suatu hari untuk mengadili seluruh dunia ini dengan adil. Tugas itu akan dilakukan oleh satu orang yang sudah dipilih-Nya. Supaya semua orang yakin akan hal itu, Allah sudah membangkitkan orang itu daripada kematian!” Kisah Rasul-Rasul 17:31 Disini jelas dinyatakan bahawa dalam masa tertentu, dunia akan dihakimi.PA 66.1

    Yudas berkata: “Ingatlah akan malaikat-malaikat yang melampaui batas kekuasaan yang telah diberikan oleh Allah, sehingga meninggalkan tempat kediaman mereka. Allah membelenggu malaikat-malaikat itu dengan rantai abadi, di tempat yang gelap di bawah bumi. Allah menahan mereka di situ sehingga Hari Kiamat apabila mereka akan dihukum.” “Henokh, keturunan ketujuh daripada Adam, dahulu pernah bernubuat tentang mereka. Dia berkata, “Lihatlah! Tuhan akan datang dengan beribu-ribu malaikat-Nya yang suci. Dia akan mengadili semua orang. Dia akan menghukum orang derhaka kerana perbuatan derhaka mereka dan kerana semua kata hinaan yang diucapkan mereka terhadap-Nya!” Yudas 6, 14, 15. Yohanes berkata, “Aku nampak orang yang sudah mati, baik orang besar mahupun orang biasa, semuanya berdiri di hadapan takhta itu. Lalu kitab-kitab pun dibuka dan... Orang yang sudah mati dihakimi menurut perbuatan mereka seperti yang tertulis di dalam kitab-kitab itu.” Wahyu 20:12.PA 66.2

    Tetapi sekiranya orang-orang mati sudah menikmati syurga atau dibakar api neraka, kenapa perlunya penghakiman pada masa hadapan? Firman Tuhan mengenai doktrin ini tidak kabur atau saling menentang; ia boleh difahami oleh fikiran umum. Tetapi fikiran celik manakah yang dapat melihat hikmat atau keadilan di dalam teori tersebut? Adakah orang-orang benar akan menerima ganjaran, “Baik sekali perbuatanmu itu, hambaku yang baik dan setia, . . . masuklah dan turutilah dalam kebahagiaan Tuhanmu,” bila mana mereka telah “tinggal di hadapan-Nya selama berzaman-zaman? Adakah orang-orang fasik dipanggil dari penyeksaan untuk menerima hukuman daripada Hakim, “Pergi dari sini, hai kamu yang dikutuk Allah! Pergilah ke dalam api yang tidak dapat padam yang telah disediakan oleh Allah untuk Iblis dan malaikat-malaikat-nya!” Matius 25:21, 41. Pernyataan ini amat menghina kebijaksanaan dan kebaikan Tuhan!PA 66.3

    Teori mengenai kekekalan jiwa merupakan salah satu doktrin palsu yang diambil oleh Rom daripada paganisme. Luther mengkategorikannya dengan “dongeng teruk yang membentuk bukit sampah yang menjadi takdir Rom.” Merujuk kepada kata-kata Solomon iaitu, orang mati tidak mengetahui apa-apa, pemulih ini menyatakan “Terdapat tempat dimana orang mati tiada perasaan. Di situ tiada kerja, tiada sains, tiada pengetahuan, tiada kebijaksanaan. Solomon menyatakan orang yang mati telah tidur, tetapi bila mereka dibangkitkan, mereka bagaikan tidur seminit”. Martin Luther, Perbincangan Mengenai Buku Solomon, iaitu Pengkhotbah, halaman 152 (Exposition of Solomon’s Book, Called Ecclesiastes).PA 67.1

    Tiada penyataan dalam Kitab Suci yang mengatakan orang baik terus mendapat ganjaran mereka atau orang jahat mendapat upah kematian bila mati. Nabi dan rasul tidak menyatakan sebegitu. Kristus dan pengikutnya tidak pernah memberi ajaran sebegitu. Kitab Suci jelas mengajar bahawa orang yang telah mati tidur sehinggalah pada hari kebangkitan. 1 Tesalonika 4:14; Ayub 14:10-12. Pada hari rantai perak putus dan lampu emas jatuh dan pecah (Pengkhutbah 12:6), binasa pemikiran manusia. Mereka yang dikuburkan turun tanpa bunyi. Mereka tidak menyedari apa yang sedang berlaku di bawah matahari. Ayub 14:21. Orang benar, sememangnya diberkati. Masa, biarpun lama atau sekejap, adalah sedetik bagi mereka. Mereka tidur; mereka akan dikejutkan dengan natiri Tuhan kepada kehidupan kekal. “Tetapi ketika trompet dibunyikan untuk kali terakhir, dengan tiba-tiba dan dalam sekelip mata kita semua akan diubah. Apabila tubuh yang fana sudah diganti dengan tubuh yang abadi, dan tubuh yang mati sudah diganti dengan tubuh yang tidak dapat mati, maka berlakulah apa yang tertulis di dalam Alkitab, Kematian sudah dilenyapkan, dan kemenangan sudah tercapai”. 1 Korintus 15:52-54. Setelah mereka dikejutkan dari tidur, mereka mula berfikir tentang titik dimana nyawa mereka telah berhenti. Perasaan terakhir adalah ketika kematian; pemikiran terakhir, bila mana mereka ditenggelam kuasa maut. Apabila mereka bangkit dari kubur, fikiran pertama mereka pastilah “Hai maut, di manakah kemenanganmu? Hai maut, di manakah sengatmu?” 1 Korintus 15:55.PA 67.2

    Larger font
    Smaller font
    Copy
    Print
    Contents