Loading...
Larger font
Smaller font
Copy
Print
Contents
  • Results
  • Related
  • Featured
No results found for: "".
  • Weighted Relevancy
  • Content Sequence
  • Relevancy
  • Earliest First
  • Latest First
    Larger font
    Smaller font
    Copy
    Print
    Contents

    Bab 10 - Kebangkitan Kristus

    Murid-murid Yesus rehat pada hari Sabat. Mereka bersedih kerana kematian Tuhan mereka. Sementara itu, Yesus, Raja Kemuliaan terbaring dalam kubur. Malam bergerak perlahan. Ketika suasana masih gelap, para malaikat yang berlegar-legar di awang-awang kuburan itu mengetahui masa untuk melepaskan Anak yang dikasihi, panglima mereka yang dijunjung tinggi itu sudah hampir tiba. Ketika mereka dengan emosi yang sangat mendalam menunggu saat-saat kemenangan-Nya, satu malaikat perkasa terbang laju dari syurga. Mukanya seperti kilat dan pakaiannya putih seperti salji. Cahayanya yang menerangi kegelapan di sepanjang laluannya itu menyebabkan para iblis yang dengan megahnya menuntut tubuh Yesus itu lari bertempiaran mengelakkan diri dari kemuliaan dan terang cahayanya. Satu daripada malaikat-malaikat yang menyaksikan peristiwa penghinaan terhadap Yesus dan yang mengawal tempat istirehat-Nya menyertai malaikat dari syurga itu. Kedua-dua malaikat itu turun ke kubur Yesus. Bumi bergegar dan bergoncang ketika mereka mendarat. Satu gempa bumi yang besar berlaku. Malaikat kuat dan perkasa memegang batu penutup kuburan itu dan dengan segera menggolekkannya dari pintu kubur lalu duduk di atasnya.KB 31.1

    Rasa takut yang tidak terhingga menyelubungi para pengawal. Di manakah kuasa mereka untuk mengawal jenazah Yesus itu sekarang? Mereka tidak lagi memikirkan tugas atau mengambil kisah tentang murid-murid Yesus yang akan datang mengambil dan melarikan tubuh-Nya. Mereka berasa sangat hairan dan takut ketika terang malaikat itu menyinari persekitaran, lebih terang daripada matahari. Para pengawal Rom melihat malaikat-malaikat itu lalu jatuh bergelimpangan seperti orang mati. Satu daripada malaikat itu menolak batu penutup pintu kuburan itu dalam kemenangan. Dengan suara yang kuat dan terang, malaikat itu berseru, “Engkau Anak, Bapa-Mu memanggil Engkau! Bangunlah.” Kematian tidak lagi dapat menguasai-Nya. Yesus bangkit daripada kematian. Satu malaikat yang lain masuk ke dalam kubur dan pada ketika Yesus hendak bangun dalam kemenangan, dia menanggalkan pembalut kepala Yesus lalu berjalan ke hadapan sebagai penakluk yang telah menang. Seluruh malaikat syurgawi menatap peristiwa itu dengan penuh kekaguman. Ketika Yesus keluar daripada liang kubur itu dalam keagungan, para malaikat yang bercahaya itu sujud ke tanah menyembah dan memuji-Nya dengan nyanyian kejayaan dan kemenangan bahawa kematian tidak lagi dapat menahan tahanan dari syurga itu. Syaitan tidak menang sekarang. Iblis-iblis itu pula bertempiaran melarikan diri daripada cahaya terang malaikat-malaikat dari syurga yang menerobos ke semua arah. Mereka mengadu kepada raja mereka mengatakan mangsa mereka itu telah dirampas dengan ganasnya daripada tangan mereka. Dia yang mereka sungguh amat benci itu telah bangkit dari kematian.KB 31.2

    Syaitan dan seluruh iblisnya amat berbangga dengan kuasa mereka menawan manusia yang telah berdosa yang menyebabkan Tuhan atas kehidupan telah menjadi jasad dalam kuburan. Bagaimanapun kemenangan jahat mereka itu begitu singkat. Bila Yesus keluar dari penjara-Nya sebagai penakluk yang berjaya, Syaitan mengetahui bahawa selepas suatu tempoh dia akan mati dan kerajaannya akan diserahkan kepada Dia yang berhak memilikinya sejak dari mula. Syaitan mengeluh dan berang kerana dengan segala usahanya, Yesus masih tidak dapat dikalahkan. Sebaliknya telah membuka jalan keselamatan kepada manusia supaya barang siapa yang berjalan melalui jalan itu akan diselamatkan.KB 31.3

    Buat seketika Syaitan nampak sedih dan menunjukkan rasa cemas. Dia mengadakan musyawarah dengan para iblisnya untuk mempertimbangkan bagaimana mereka harus meneruskan penentangan terhadap kerajaan Tuhan pada masa akan datang. Syaitan berkata, “Pergilah segera menemui Imam-imam ketua dan para penatua. Kita telah berjaya menyesatkan mereka, membutakan mata mereka dan mengeraskan hati mereka menentang Yesus. Kita telah membuatkan mereka percaya bahawa Dia adalah penyamar. Para pengawal Rom akan membawa berita buruk bahawa Yesus telah bangkit. Kita telah memimpin para imam dan penatua supaya mereka terus membenci dan membunuh Yesus. Sekarang, jelaskan dengan terus terang kepada mereka di khalayak ramai bahawa jika kebangkitan Yesus dari kematian telah menjadi pengetahuan umum, bermakna mereka akan dilempar dengan batu oleh rakyat kerana telah menghukum mati orang yang tidak berdosa.”KB 31.4

    Aku melihat bila malaikat-malaikat itu kembali ke syurga, terang dan kemuliaan tidak lagi kelihatan, para pengawal Rom itu memberanikan diri mengangkat kepala dan mempastikan keadaan mengizinkan untuk mereka melihat-lihat di sekeliling. Para pengawal itu sangat hairan dan kagum melihat batu penutup pintu kubur itu telah dialihkan dari tempatnya dan tubuh Yesus tidak ada lagi dalam liang kubur itu. Mereka bergegas menemui Imam-imam ketua dan penatua bangsa Israel dengan kisah menarik tentang apa yang mereka telah lihat. Ketika pembunuh-pembunuh itu mendengar laporan yang menakjubkan itu, muka mereka menjadi pucat lesi. Perasaan gerun menyelubungi diri mereka memikirkan apa yang telah mereka lakukan. Mereka menyedari bahawa jika laporan itu betul, alamatnya nahaslah mereka. Buat seketika, mereka duduk tanpa kata, saling memandang muka yang lain, tidak tahu apa yang hendak dibuat atau apa yang hendak dikatakan. Mereka diletakkan pada tempat yang mereka tidak percayai kecuali untuk menghukum diri mereka sendiri. Mereka pergi ke tepi berunding bagi memutuskan apa yang harus dilakukan. Mereka memutuskan bahawa sekiranya berita tentang kebangkitan Yesus dari kematian dan laporan tentang kemuliaan yang menakjubkan yang telah menyebabkan para pengawal jatuh bergelimpangan bagaikan orang mati tersebar luas kepada orang ramai, rakyat tentu akan naik marah dan akan membunuh mereka. Mereka membuat keputusan mengupah askar pengawal itu supaya merahsiakan peristiwa tersebut. Mereka telah menawarkan sejumlah besar wang kepada pengawal-pengawal itu. Kata mereka, “Kamu harus mengatakan bahawa murid-murid-Nya datang malam-malam dan mencuri-Nya ketika kamu sedang tidur.” Bila pengawal-pengawal itu bertanya apa yang akan berlaku ke atas mereka yang tidur ketika bertugas, pegawai-pegawai Yahudi itu berjanji akan meyakinkan gabenor dan menjamin keselamatan mereka. Demi wang, pengawal Rom itu sanggup menjual maruah mereka dengan menurut nasihat para imam dan para penatua bangsa itu.KB 32.1

    Yesus masih tergantung di kayu salib ketika Dia berseru, “Sudah selesai,” dan bukit batu itupun bergegar, bumi bergoncang dan sebahagian kubur-kubur terbuka. Sementara bumi masih bergoyang dan kemuliaan syurga menyinari sekitar tempat suci itu, Yesus bangkit sebagai pemenang dari kematian dan kubur. Sebilangan di kalangan orang benar yang telah mati itu patuh kepada panggilan-Nya tampil ke hadapan menjadi saksi-saksi kepada kebangkitan-Nya. Mereka yang disayangi, orang-orang salih yang dibangkitkan tampil ke hadapan penuh kemuliaan. Mereka adalah orang-orang yang terpilih dan suci dari segala umur sejak penciptaan sehinggalah pada hari Kristus itu. Dengan yang demikian, sementara para pemimpin mencari jalan menyembunyikan kebenaran tentang kebangkitan Yesus, Tuhan telah memilih untuk mengangkat satu kumpulan orang dari kuburan untuk bersaksi bahawa Yesus telah bangkit dan mengisytiharkan kemuliaan-Nya.KB 32.2

    Mereka yang dibangkitkan itu mempunyai perawakan dan bentuk yang berbeza. Aku diberitahu bahawa penduduk bumi telah menjadi kerdil, kekuatan mereka telah berkurangan dan kurang lawa. Syaitan mempunyai kuasa penyakit dan kematian. Semakin berumur bumi ini, lebih terang kesan sumpahan dosa dan kuasa Syaitan semakin jelas kelihatan. Sebahagian nampak lebih mulia dari yang lain. Bentuk, kekuatan dan kecantikan mereka yang hidup sezaman dengan Nuh dan Abraham lebih menyerupai malaikat. Tetapi keturunan-keturunan berikutnya semakin lemah, selalu dijangkiti penyakit dan umur mereka lebih pendek. Syaitan telah mempelajari bagaimana hendak mengganggu dan melemahkan bangsa manusia.KB 32.3

    Mereka yang telah tampil ke hadapan selepas kebangkitan Yesus kelihatan kepada banyak orang, memberitahu mereka bahawa korban untuk manusia telah selesai disempurnakan. Yesus yang disalibkan oleh orang-orang Yahudi itu telah bangkit dari kematian. Sebagai bukti kepada kata-kata mereka itu, mereka mengisytiharkan, “Kami bangkit bersama-sama dengan Dia.” Mereka menjadi saksi bahawa dengan kekuatan-Nya mereka telah dipanggil keluar daripada kuburan mereka. Walaupun laporan pembohongan orang-orang Farisi itu sudah tersebar luas, namun kebangkitan Yesus tidak dapat disembunyikan oleh Syaitan, para iblisnya atau para imam. Kumpulan orang suci yang dipanggil keluar dari kuburan itu telah menyebarkan berita indah yang menggembirakan. Tambahan pula Yesus telah menampakkan diri-Nya kepada murid-murid yang telah hancur hati dan sedang bersedih. Yesus telah melenyapkan ketakutan dan membuatkan mereka gembira dan riang ria.KB 32.4

    Ketika berita itu tersebar dari kota ke kota dan dari bandar ke bandar, tiba giliran bagi orang-orang Yahudi berasa takut kehilangan nyawa mereka. Kini mereka menyembunyikan kebencian yang meluap-luap terhadap murid-murid. Satu-satunya harapan mereka adalah penyebaran laporan palsu. Mereka yang berharap bahawa berita palsu itu adalah benar, mempercayainya. Pilatus sendiri menggeletar. Dia percaya terhadap kesaksian kukuh yang disampaikan kepadanya bahawa Yesus telah bangkit dari kematian dan banyak lagi orang yang dibangkitkan bersama-Nya. Dengan yang demikian kedamaian telah meninggalkan Pilatus untuk selama-lamanya. Demi kehormatan duniawi, kerana takut kehilangan kuasa dan nyawanya, dia serahkan Yesus untuk mati. Kini dia begitu yakin bahawa bukan semata-mata dia bersalah kepada darah seorang manusia biasa yang tidak bersalah tetapi juga kepada darah Anak Yahweh. Sengsaranya hidup Pilatus, sengsara hingga akhir hayatnya. Putus asa dan rasa terseksa meremukkan setiap harapan dan rasa riang. Dia enggan dihiburkan. Dia mati dengan kematian yang amat menyedihkan.KB 32.5

    Hati Herodes bertambah keras. Apabila dia mendengar berita tentang Yesus telah bangkit daripada kematian, dia tidak berasa begitu susah hati. Dia telah mengambil nyawa Yakubus dan apabila dia melihat perbuatannya itu menyenangkan orang-orang Yahudi, dia pun menangkap Petrus juga dengan tujuan untuk menjatuhkan hukuman bunuh ke atasnya. Namun Tuhan ada tugas untuk Petrus laksanakan. Lalu Tuhan mengirimkan malaikat-Nya dan membebaskan Petrus. Herodes didatangi hukuman. Tuhan memukulnya dihadapan khalayak ramai ketika dia cuba meninggikan dirinya di hadapan mereka. Dia mati dengan kematian yang mengerikan.KB 33.1

    Pada awal pagi hari, ketika fajar belum lagi menyingsing, perempuan-perempuan suci itu datang ke kuburan membawa rempah-rempah harum untuk mengurapi tubuh Yesus. Setiba mereka di perkuburan itu, mereka mendapati batu besar penutup pintu kubur itu telah dialihkan dari tempatnya dan tubuh Yesus tidak ada di dalam kubur itu. Hati mereka tenggelam dalam diri mereka. Mereka takut musuh-musuh mereka telah mencuri tubuh Yesus dari dalam kubur-Nya. Tiba-tiba mereka terlihat dua malaikat berpakaian putih berdiri di samping mereka. Muka mereka terang benderang dan bersinar-sinar. Makhluk-makhluk syurgawi memahami apa yang dilakukan oleh perempuan-perempuan itu. Malaikat itu tanpa berlengah lagi memberitahu yang mereka sedang mencari Yesus tetapi Dia tidak ada dalam kubur itu. Malaikat itu memberitahu mereka yang Yesus telah bangkit dari kematian dan mereka boleh melihat tempat pembaringan-Nya. Makhluk-makhluk syurgawi itu menyuruh mereka memberitahu murid-murid-Nya bahawa Dia akan mendahului mereka ke Galilea. Perempuan-perempuan itu takut dan sangat hairan. Mereka bergegas kembali untuk menemui murid-murid yang berkabung dan tidak dapat dihiburkan kerana Tuhan mereka telah disalibkan. Dengan tergesa-gesa mereka datang memberitahu murid-murid itu perkara-perkara yang mereka telah lihat dan dengar. Murid-murid itu tidak percaya yang Yesus telah bangkit dari kematian tetapi setelah mendengar laporan dari perempuan-perempuan tersebut, mereka berlari menuju ke kuburan. Bila sampai di kuburan itu mereka mendapati Yesus tidak ada dipembaringan-Nya. Kain linen-Nya masih di atas tempat pembaringan itu tetapi masih tidak percaya khabar baik bahawa Yesus telah bangkit dari kematian. Mereka balik ke rumah dengan perasaan takjub dengan apa yang mereka telah lihat dan juga terhadap laporan yang disampaikan kepada mereka oleh perempuan-perempuan itu. Maria memilih untuk berlegar-legar di sekitar kuburan itu. Dia memikirkan tentang apa yang telah dilihatnya. Dia berasa sedih dengan suatu perasaan yang kemungkinan dia telah ditipu. Dia merasakan cubaan baru sedang menantinya. Dia bertambah sedih. Dia menangis tidak terkawal lagi. Dia membongkok melihat sekali lagi ke dalam kuburan. Dia melihat dua malaikat berpakaian putih. Wajah mereka cerah dan bersinar. Satu daripada malaikat itu duduk di bahagian kepala bekas pembaringan tubuh Yesus. Malaikat yang satu lagi duduk di sebelah kaki. Mereka berkata kepada Maria dengan lemah lembut dan bertanya mengapa dia menangis. Maria menjawab, “Tuhanku telah diambil orang dan aku tidak tahu di mana Ia diletakkan.” KB 33.2

    Ketika Maria menoleh ke belakang dari kuburan dia melihat Yesus sedang berdiri di sampingnya tetapi Maria tidak mengenali Dia. Yesus dengan lemah lembut bertanyakan sebab kesedihannya dan hendak mencari siapa. Maria fikir orang yang bertanya kepadanya itu adalah tukang kebun di perkuburan itu. Dia merayu kepada-Nya, kalau Dia telah mengambil tubuh Yesus supaya memberitahunya di mana Ia diletakkan supaya dia dapat mengambil-Nya. Yesus berkata kepadanya dengan suara syurgawi-Nya, “Maria!” Dia biasa dengan nada suara yang merdu itu dan dengan segera menjawab, “Guru!” dan dengan rasa sangat girang, dia hendak memeluk-Nya, Yesus berkata “Janganlah engkau memegang Aku, sebab Aku belum pergi kepada Bapa, tetapi pergilah kepada saudara-saudara-Ku dan katakanlah kepada mereka, bahawa sekarang Aku akan pergi kepada Bapa-Ku dan Bapamu, kepada Tuhan-Ku dan kepada Tuhanmu.” Dengan rasa riang ria dia bergegas pergi menemui murid-murid Yesus dengan membawa berita baik. Yesus segera naik kepada Bapa-Nya untuk mendengar dari mulut-Nya bahawa Dia menerima persembahan korban itu dan untuk menerima segala kuasa di syurga dan di bumi daripada Bapa-Nya..KB 33.3

    Para malaikat syurga bagaikan awan mengelilingi Anak Yahweh dan menyuruh pintu-pintu kekekalan di angkat tinggi supaya Raja kemulian masuk ke dalam. Aku melihat ketika Yesus bersama dengan seluruh penghuni syurga yang terang benderang, dalam kehadiran Tuhan dan di selubungi dengan kemuliaan-Nya, Dia tidak lupa akan murid-murid-Nya yang bersedih di bumi, tetapi Dia datang menerima kuasa daripada Bapa-Nya supaya Dia kembali untuk mengurniakan kuasa kepada mereka. Pada hari yang sama Dia kembali ke bumi dan menampakkan diri-Nya kepada murid-murid-Nya. Pada ketika itu Dia membiarkan mereka menyentuh tubuh-Nya kerana Dia telah naik kepada Bapa-Nya dan telah menerima kuasa.KB 34.1

    Ketika ini Thomas tidak ada bersama-sama dengan murid-murid lain yang sedang berkumpul. Dia tidak mudah menerima laporan dari murid-murid yang lain. Dia berpegang kepada pendirian dan keyakinan diri bahawa dia tidak akan percaya selagi dia belum memasukkan jarinya ke dalam bekas-bekas paku pada tangan dan kaki-Nya dan ke dalam bekas tusukan kejam lembing dirusuk-Nya. Dengan sikapnya itu menunjukkan dia kurang keyakinan terhadap saudara-saudaranya. Jika semua orang memerlukan bukti seperti itu, tidak seorangpun akan dapat menerima Yesus dan percaya kepada kebangkitan-Nya. Tetapi adalah menjadi kehendak Tuhan supaya laporan para murid harus diterima oleh semua orang yang tidak dapat melihat dan mendengar suara Juruselamat yang dibangkitkan itu. Tuhan tidak menyenangi sikap tidak percaya Thomas itu. Bila Yesus sekali lagi menemui murid-murid-Nya, Thomas ada bersama mereka. Bila dia melihat Yesus, barulah dia percaya. Tetapi Thomas mengatakan yang dia tidak akan berpuas hati selagi tidak ada bukti sentuhan di samping bukti penglihatan. Yesus memberikan bukti yang dikehendaki oleh Thomas. Bila Thomas melihat dan menyentuh bukti itu, dia berseru, “Tuhanku dan Yahwehku.” Tetapi Yesus menegur dia kerana ketidakpercayaannya, kata-Nya, “Kerana engkau telah melihat Aku, maka engkau percaya. Berbahagialah mereka yang tidak melihat, namun percaya.”KB 34.2

    Jadi, aku melihat bahawa mereka yang tidak mempunyai pengalaman perkhabaran1 malaikat pertama dan kedua mesti menerimanya daripada mereka yang telah mengalaminya dan menuruti perutusan itu seterusnya. Sebagaimana Yesus disalibkan, begitu juga aku lihat bahawa perutusan ini disalibkan. Ketika para murid mengisytiharkan bahawa tidak ada keselamatan dalam nama lain di bawah langit yang telah diberikan kepada manusia, demikian jugalah sekiranya pelayan-pelayan Tuhan dengan setia dan tanpa takut-takut mengisytiharkan bahawa mereka yang menerima hanya sebahagian daripada kebenaran berkaitan dengan perutusan yang ketiga2 mestilah juga dengan gembira menerima perutusan pertama, kedua dan ketiga sebagaimana Tuhan berikan kepada mereka atau langsung tidak ada bahagian atau peruntukan dalam perkara tersebut.KB 34.3

    Aku telah diperlihatkan sementara perempuan-perempuan suci itu membawa laporan bahawa Yesus telah bangkit, para pengawal Roma telah mengedarkan pembohongan yang telah ditaruh ke dalam mulut mereka oleh ketua imam-imam dan para penatua, bahawa para murid telah datang pada malam hari ketika mereka tidur dan mencuri jenazah Yesus. Syaitan telah menaruh pembohongan itu ke dalam hati dan mulut ketua imam-imam, dan orang-orang bersedia menerima perkataan mereka itu. Namun begitu Tuhan telah mempastikan perkara itu dan meletakkan peristiwa penting ini, di mana tergantung keselamatan, tanpa sebarang keraguan lagi, dan di mana mustahil bagi ketua imam-imam dan para penatua menutupinya. Para saksi telah dibangkitkan daripada kubur untuk bersaksi tentang kebangkitan Yesus.KB 34.4

    Yesus terus tinggal bersama murid-murid-Nya selama empat puluh hari lagi. Kehadiran Yesus membawa kegirangan dan keceriaan hati mereka bila Yesus menerangkan lebih jelas lagi kenyataan tentang kerajaan Tuhan. Yesus menyuruh mereka memberi kesaksian tentang perkara-perkara yang mereka telah lihat dan dengar berkaitan dengan kesengsaraan, kematian dan kebangkitan-Nya. Seterusnya mereka harus bersaksi bahawa Dia telah menjadi korban untuk dosa dan semua orang yang akan datang kepada-Nya akan menerima hidup. Dengan kesetiaan yang lemah lembut, dia memberitahu bahawa mereka akan dianiaya dan menghadapi kesusahan tetapi mereka akan menerima kelegaan apabila mereka mengenang kembali pengalaman dan mengingat semula kata-kata yang pernah diucapkan-Nya. Dia memberitahu mereka bahawa Dia telah mengatasi cubaan Syaitan dan memperolehi kemenangan melalui ujian dan penderitaan. Syaitan tidak akan lagi berkuasa ke atas-Nya tetapi akan membawa godaan yang akan menimpa terus kepada mereka dan kepada semua orang yang akan percaya kepada nama-Nya. Tetapi mereka akan dapat mengatasi cubaan itu sebagaimana Dia telah mengatasinya. Yesus mengurniakan kepada murid-murid-Nya kuasa untuk mengadakan mukjizat. Dia memberitahu bahawa walaupun orang-orang jahat akan berkuasa atas tubuh mereka, Dia akan pada masa-masa tertentu mengutus malaikat-Nya untuk menyelamatkan mereka. Nyawa mereka tidak akan diambil sehingga tugas-tugas mereka selesai. Setelah kesaksian mereka selesai, nyawa mereka mungkin dikehendaki untuk memeteraikan kesaksian-kesaksian yang mereka telah pikul. Pengikut-pengikut-Nya dengan besar hati dan girang mendengarkan ajaran-ajaran-Nya. Mereka berpesta di atas setiap perkataan yang keluar dari mulut suci-Nya. Sekarang, mereka begitu pasti bahawa Dia ialah Juruselamat dunia. Kata-kata-Nya tertanam jauh ke dalam lubuk hati mereka. Mereka berdukacita kerana tidak lama lagi mereka akan berpisah dengan Guru syurgawi. Mereka tidak akan lagi mendengar kata-kata yang menghiburkan dan penuh belas kasihan dari bibir-Nya. Tetapi hati mereka dihangatkan dengan kasih dan rasa kegirangan yang besar ketika Yesus memberitahu bahawa Dia akan pergi menyediakan tempat tinggal untuk mereka dan kembali lagi untuk menerima mereka supaya Dia akan sentiasa bersama mereka. Dia juga berjanji akan menghantar Penghibur iaitu Roh Kudus untuk memimpin, memberkati dan memimpin mereka kepada kebenaran. “Dia mengangkat tangan-Nya dan memberkati mereka.” KB 34.5

    1 Rujuk: Wahyu 14:6-8. Dihuraikan dalam bab 23 dan 24 buku ini.KB 35.1

    2 Rujuk: Wahyu 14:9-12. Dihuraikan dalam bab 28 buku ini.KB 35.2

    Rujuk: Matius 27:52-52; Matius 28; Markus 16:1-8; Lukas 24:1-50; Yohanes 20; Kisah Para Rasul 12.KB 35.3

    Larger font
    Smaller font
    Copy
    Print
    Contents