Loading...
Larger font
Smaller font
Copy
Print
Contents
  • Results
  • Related
  • Featured
No results found for: "".
  • Weighted Relevancy
  • Content Sequence
  • Relevancy
  • Earliest First
  • Latest First
    Larger font
    Smaller font
    Copy
    Print
    Contents

    Bab 5 - Pelayanan Kristus

    Setelah Syaitan mengakhiri godaannya, dia meninggalkan Yesus untuk seketika. Para malaikat menyediakan makanan untuk Yesus di padang belantara dan menguatkan Dia. Berkat Bapa berlimpah kepada-Nya. Syaitan telah gagal dalam godaannya yang paling hebat. Namun demikian, dia tetap menunggu saat dan ketika yang lain sepanjang pelayanan Yesus untuk mencubai dengan segala tipu helahnya menentang Yesus. Dia masih berharap dapat mengalahkan Yesus dengan menghasut manusia yang tidak mahu menerimanya supaya membenci dan mencari jalan membinasakan Dia. Syaitan memanggil satu musyawarah khas dengan para iblisnya. Mereka begitu kecewa dan marah kerana mereka tidak dapat menundukkan Anak itu walau sedikitpun. Mereka membuat keputusan supaya mereka lebih licik lagi dan menggunakan sepenuhnya kuasa mereka untuk menanamkan semangat tidak percaya dalam minda bangsa Yahudi bahawa Dia adalah Juruselamat Dunia. Dengan cara ini Syaitan berharap Yesus akan patah semangat dalam misi-Nya. Betapa telitipun orang-orang Yahudi dalam upacara-upacara dan persembahan-persembahan korban tetapi jika mata mereka dibiarkan buta terhadap nubuatan dan menyebabkan mereka percaya bahawa Mesias itu akan datang sebagai seorang Raja dunia yang gagah perkasa, mereka akan terus menerus menantikan satu mesias yang akan datang.KB 18.1

    Aku telah diperlihatkan kepada Syaitan dan para iblisnya yang begitu sibuk menjalankan pelbagai usaha sepanjang pelayanan Yesus. Mereka mengilhamkan ketidakpercayaan, kebencian dan cemuhan ke dalam minda manusia. Kerap kali apabila Yesus mengatakan kebenaran yang menyakitkan dan menegur dosa-dosa mereka, bangsa itu menjadi marah. Syaitan dan para iblisnya menghasut mereka supaya membunuh Anak itu. Lebih dari sekali mereka mengangkat batu untuk membaling Yesus tetapi para malaikat yang mengiringi-Nya membawa-Nya jauh dari kumpulan orang-orang yang marah itu ke satu tempat yang selamat. Sekali lagi apabila kata-kata kebenaran keluar dari mulut-Nya, orang banyak itu menangkap Dia dan membawa-Nya ke dahi sebuah bukit untuk menjatuhkan-Nya dari situ. Satu perbalahan timbul di kalangan mereka tentang apa yang patut mereka lakukan kepada-Nya. Ketika ini, para malaikat sekali lagi menyembunyikan Yesus dari penglihatan mereka. Dia keluar dari tengah-tengah kumpulan itu dan meneruskan perjalanan-Nya.KB 18.2

    Syaitan masih berharap supaya rancangan besar penyelamatan itu akan menemui kegagalannya. Dia menggunakan segala kuasanya untuk mengeraskan hati bangsa itu dan mewujudkan perasaan benci terhadap Yesus. Dia berharap akan ada sedikit sahaja yang menerima Yesus sebagai Anak supaya Dia akan merasakan penderitaan dan pengorbanan-Nya itu terlalu besar untuk satu kumpulan kecil manusia. Tetapi aku difahamkan jika ada dua orang sahaja yang akan menerima Yesus sebagai Anak dan percaya bahawa Dia datang untuk menyelamatkan jiwa, Dia akan tetap meneruskan rancangan penyelamatan itu.KB 18.3

    Yesus memulakan pekerjaan-Nya dengan memecahkan kuasa Syaitan atas mereka yang menderita. Dia menyembuhkan mereka yang menderita akibat kuasa kejahatannya. Dia memulihkan mereka yang sakit menjadi sehat. Menyembuhkan mereka yang tempang sehingga melompat-lompat kerana gembira dan memuliakan Tuhan. Memulihkan penglihatan mereka yang buta. Dia memulihkan kesihatan mereka yang lemah dan terikat dengan kuasa kekejaman Syaitan bertahun-tahun lamanya. Dengan kata-kata kemurahan, Dia menghiburkan mereka yang lemah, yang menggeletar dan yang putus asa. Dia membangkitkan orang yang mati dan mereka memuliakan Tuhan kerana kebesaran kuasa-Nya. Dia bekerja dengan perkasa untuk semua orang yang percaya kepada-Nya. Mereka yang tidak berdaya dan menderita dalam genggaman Syaitan, Yesus lepaskan dari tangannya dan memberikan mereka kesihatan tubuh, kegembiraan besar dan kebahagiaan.KB 18.4

    Kehidupan Kristus penuh dengan kata-kata dan perbuatan kebajikan, simpati dan kasih. Dia sedia mendengar rintihan dan melegakan kesengsaraan mereka yang datang kepada-Nya. Satu himpunan banyak orang membawa secara peribadi bukti-bukti kuasa syurgawi-Nya. Begitupun, selepas pekerjaan-Nya itu selesai, ramai yang malu terhadap Guru yang rendah hati namun perkasa itu. Oleh sebab para pemerintah tidak percaya kepada-Nya, mereka itu tidak rela menderita bersama-Nya. Yesus seorang yang penuh kesengsaraan dan yang biasa menderita kesakitan. Tetapi sedikit orang yang dapat bertahan mengikuti cara hidup-Nya yang suci dan sentiasa menyangkal diri. Mereka ingin sekali menikmati kebesaran yang diberikan oleh dunia. Walaupun begitu ramai orang yang mengikuti Anak itu dan mendengar pengajaran-Nya, bersuka dengan kata-kata kemurahan yang keluar dengan fasihnya dari mulut-Nya. Kata-kata-Nya penuh makna tetapi begitu mudah sehingga mereka yang lemah sekalipun dapat memahaminya.KB 18.5

    Syaitan dan para iblisnya sibuk. Mereka telah mengaburkan mata dan menggelapkan pengertian orang-orang Yahudi. Syaitan menghasut ketua-ketua dan para pemimpin bangsa itu supaya membunuh Juruselamat. Para pegawai dihantar untuk membawa Yesus menghadap para pemimpin bangsa. Tetapi ketika mereka menghampiri Yesus, mereka begitu kagum. Mereka melihat Yesus itu penuh dengan simpati dan belas kasihan ketika menyaksikan kesengsaraan manusia. Mereka mendengar-Nya mendorong orang yang lemah dan hidup sengsara itu dengan penuh kasih dan lemah lembut. Mereka juga mendengar suara-Nya yang penuh kuasa, mengherdik kuasa Syaitan dan membebaskan orang-orang yang ditawan Syaitan. Mereka mendengar kata-kata hikmat yang keluar dari mulut-Nya. Mereka terpegun dengan kata-kata-Nya. Mereka tidak dapat menjamah-Nya. Mereka kembali kepada imam-imam dan penatua-penatua tanpa membawa bersama Yesus.KB 19.1

    Mereka bertanya kepada para pegawai itu, “Mengapa kamu tidak membawa Yesus kemari?” Mereka memberitahu tentang apa yang mereka saksikan dari hal mukjizat yang dilakukan-Nya, kata-kata hikmat suci-Nya, kasih dan pengetahuan yang mereka dengar dan seterusnya mereka akhiri dengan ucapan, “Belum pernah seorang manusia berkata seperti orang itu.” Imam-imam ketua itu menuduh mereka sebagai orang-orang yang telah disesatkan. Sebahagian daripada pegawai itu berasa malu kerana mereka tidak dapat menangkap Yesus. Para imam itu juga bertanya dengan cara mencemuh jika ada di antara pemimpin-pemimpin bangsa itu percaya kepada Yesus. Aku melihat banyak daripada Ahli Taurat dan para penatua bangsa itu yang percaya kepada Yesus tetapi Syaitan menghalang mereka daripada mengakuinya. Mereka lebih takut kepada teguran orang ramai daripada takut akan Tuhan.KB 19.2

    Pada takat itu, kelicikan dan kebencian Syaitan belum lagi dapat mematahkan rancangan penyelamatan. Tempoh bagi mencapai tujuan kedatangan Yesus ke dunia ini hampir ke penghujungnya. Syaitan dan para iblisnya bersidang bersama dan membuat keputusan untuk menghasut bangsa-Nya sendiri supaya mereka bangkit menumpahkan darah-Nya, menimpakan kepada-Nya kekejaman dan cemuhan. Syaitan dan para iblisnya berharap Yesus akan berasa geram terhadap layanan sedemikian rupa dan akhirnya Dia akan gagal mempertahankan sikap rendah hati dan sifat lemah lembut-Nya.KB 19.3

    Ketika Syaitan sedang mengatur rancangannya, Yesus secara berhati-hati menyuarakan kepada murid-murid-Nya tentang penderitaan yang harus dilalui-Nya — bahawa Dia akan disalib kemudian akan bangkit semula pada hari yang ketiga. Tetapi pengertian mereka nampaknya tumpul. Mereka tidak dapat memahami apa yang dikatakan-Nya kepada mereka.KB 19.4

    Rujuk: Lukas 4:29; Yohanes 7:45-48; 8:59KB 19.5

    Larger font
    Smaller font
    Copy
    Print
    Contents