Loading...
Larger font
Smaller font
Copy
Print
Contents
  • Results
  • Related
  • Featured
No results found for: "".
  • Weighted Relevancy
  • Content Sequence
  • Relevancy
  • Earliest First
  • Latest First
    Larger font
    Smaller font
    Copy
    Print
    Contents

    Bab 27 - Sanktuari

    Kemudian aku diperlihatkan kepada kekecewaan umat Tuhan yang menyedihkan. Mereka tidak melihat Yesus pada masa yang dijangkakan. Mereka tidak mengetahui mengapa Juruselamat mereka tidak datang. Mereka pasti tidak ada bukti mengapa masa nubuatan belum berakhir. Kata satu malaikat, “Adakah firman Tuhan telah gagal? Adakah Tuhan telah gagal menunaikan janji-janji-Nya? Tidak, Dia telah menunaikan semua janji-Nya. Yesus telah bangkit dan telah menutup pintu Tempat Suci di Sanktuari syurga, Dia telah membuka pintu masuk ke tempat Maha Suci dan masuk untuk menyucikan Sanktuari itu.” Malaikat itu berkata, “Semua yang menunggu dengan sabar akan memahami misteri itu.” Manusia telah silap tetapi tidak ada kegagalan di pihak Tuhan. Semua yang dijanjikan Tuhan akan tercapai. Tetapi manusia telah silap dengan melihat ke bumi, mempercayai yang bumi itulah Sanktuari yang akan dicucikan pada pengakhir masa nubuatan. Jangkaan manusia telah gagal namun janji Tuhan tidak sama sekali. Yesus telah mengirimkan malaikat-malaikat-Nya untuk menunjukkan arah kepada orang-orang yang kecewa itu, memimpin minda mereka ke arah tempat yang Maha Suci di mana Dia menyucikan Sanktuari dan melakukan pendamaian khusus bagi Israel. Yesus mengatakan kepada malaikat-malaikat itu yang semua orang yang telah menemui-Nya akan memahami pekerjaan yang dilakukan-Nya itu. Aku melihat bahawa sementara Yesus berada di tempat Maha Suci itu, Dia akan berkahwin dengan Yerusalem Baru. Selepas Dia menyelesaikan pekerjaan-Nya di tempat Maha Suci itu, Dia akan turun ke bumi dalam kuasa raja dan mengambil orang-orang yang dikasihi itu kepada-Nya, iaitu orang-orang yang dengan sabar menunggu kedatangan-Nya.KB 72.1

    Kemudian aku diperlihatkan kepada hal-hal yang berlaku di syurga apabila masa nubuatan berakhir pada tahun 1844. Aku melihat bahawa ketika pelayanan Yesus di Tempat Suci berakhir dan kemudian menutup pintu bilik itu, satu kegelapan besar hinggap ke atas orang-orang yang telah mendengar dan menolak perutusan-perutusan tentang kedatangan Kristus. Mereka hilang penglihatan terhadap-Nya. Kemudian Yesus memakaikan diri-Nya dengan pakaian berharga. Pada keliling bahagian bawah jubah-Nya itu ada sebuah loceng dan sebiji buah delima. Dia menggantungkan di bahunya satu perisai dada buatan aneh. Ketika Dia bergerak, perisai dada itu berkerlipan bagaikan intan, membesarkan huruf-huruf yang kelihatan seperti nama-nama tertulis atau terukir pada perisai dada itu. Selepas Dia berpakaian lengkap dan pada kepala-Nya terdapat suatu yang kelihatan seperti sebuah mahkota, malaikat-malaikat mengelilingi-Nya. Dalam sebuah kereta kuda yang bernyala-nyala Dia melepasi kelubung yang kedua. Aku kemudiannya disuruh mengambil perhatian ke atas dua bilik Sanktuari syurga. Tabir itu atau pintunya dibukakan dan aku dibenarkan masuk. Di bilik pertama aku melihat kandil dengan tujuh sumbu yang kelihatan sungguh bersemarak dan gemilang. Aku juga melihat meja itu, di atasnya terletak roti sajian. Di situ juga kelihatan mezbah pembakaran ukupan dan pedupaan. Kesemua perabot dalam bilik ini kelihatan seperti emas murni dan memantulkan imej Dia yang telah masuk ke tempat itu. Tabir yang memisahkan kedua-dua bilik ini kelihatan sungguh gemilang. Tabir itu diperbuat daripada bahan dan warna yang berbeza-beza. Tepinya sungguh indah dengan lembaga-lembaga diperbuat daripada emas terukir di atasnya, melambangkan malaikat-malaikat. Tirai itu diangkat dan aku melihat ke dalam bilik yang kedua. Aku melihat di situ sebuah peti yang kelihatan diperbuat daripada emas murni. Sebagai bingkai yang mengelilingi bahagian atas peti itu, satu ukiran yang paling cantik melambangkan mahkota-mahkota. Bingkai itu juga daripada emas murni. Di dalam peti itu terletak loh-loh batu bertulis Hukum Sepuluh. Pada kedua-dua hujung peti itu berdiri satu kerub yang molek dengan sayap yang terbuka di atas peti itu. Sayap-sayap kedua-dua kerub itu diangkat tinggi dan menyentuh satu sama lain di atas kepala Yesus yang berdiri di sisi peti itu. Wajah kedua-dua kerub itu bertentangan satu dengan yang lain dan memandang ke bawah ke arah peti itu, melambangkan seluruh malaikat syurga yang memandang dengan penuh minat terhadap undang-undang Tuhan. Di tengah-tengah kerubim itu terdapat satu pedupaan daripada emas. Ketika doa-doa orang salih dalam iman naik kepada Yesus dan Dia persembahkan doa-doa itu kepada Bapa-Nya, satu bau-bauan harum naik daripada pedupaan itu. Ia kelihatan seperti asap dengan warna-warna yang paling indah. Di atas ruang di mana Yesus berdiri di hadapan peti itu, aku melihat satu kemuliaan yang tersangat terang benderang sehingga aku tidak sanggup menatapnya. Ia kelihatan seperti satu takhta di mana Tuhan tinggal. Ketika pedupaan terangkat kepada Bapa, kemuliaan gemilang daripada takhta Bapa datang kepada Yesus dan daripada Yesus pedupaan itu ditumpahkan kepada mereka yang doa-doanya naik ke atas bagaikan dupa yang harum baunya. Terang dan kemuliaan dicurahkan kepada Yesus dengan sangat berkelimpahan dan menyelubungi tutup pendamaian. Deretan kemuliaan memenuhi kaabah itu. Aku tidak dapat melihat lama ke atas kemuliaan itu. Tidak ada bahasa yang boleh menjelaskannya. Aku sungguh terharu lalu berpaling daripada kehebatan dan kemuliaan pemandangan itu.KB 72.2

    Aku ditunjukkan kepada satu Sanktuari di atas bumi yang mengandungi dua bilik. Ia menyerupai Sanktuari di syurga. Aku diberitahu bahawa Sanktuari di bumi itulah yang memberi gambaran kepada Sanktuari di syurga. Perabot-perabot dalam bilik pertama Sanktuari di bumi adalah sama seperti perabot dalam bilik pertama Sanktuari di Syurga. Bila tirai Sanktuari bumi dibuka, aku memandang ke tempat yang Maha Suci. Aku dapat melihat yang perabotnya adalah sama seperti perabot di tempat Maha Suci Sanktuari di syurga. Imam-imam melayani di kedua-dua bilik Sanktuari di bumi. Pada bilik pertama, imam-imam melayani setiap hari sepanjang tahun. Imam hanya masuk ke bilik Maha Suci sekali setahun untuk menyucikan Sanktuari itu daripada dosa-dasa yang telah ditaruhkan di situ. Aku melihat bahawa Yesus melayani di kedua-dua bilik Sanktuari syurga. Yesus masuk ke dalam Sanktuari syurga bagi mempersembahkan darah-Nya sendiri. Imam-imam Sanktuari bumi telahpun dikeluarkan melalui kematian. Oleh sebab itu mereka tidak dapat meneruskan upacara itu. Tetapi aku melihat Yesus merupakan satu imam yang kekal. Melalui korban dan persembahan yang dibawa ke Sanktuari di bumi, anak-anak Israel akan dapat memiliki merit dari satu Juruselamat yang akan datang. Dalam hikmat Tuhan, perincian pekerajaan ini diberikan kepada kita supaya kita boleh menoleh kembali kepada pekerjaan itu dan memahami pekerjaan Yesus dalam Sanktuari di syurga.KB 73.1

    Pada waktu penyaliban, ketika Yesus mati di Kalvari, Dia berseru, “Sudah selesai.” Lalu tirai di kaabah bumi terkoyak dua di tengah dari atas ke bawah. Peristiwa ini menunjukkan bahawa penyembahan di Sanktuari bumi telah tamat buat selama-lamanya. Tuhan tidak lagi menemui mereka dalam kaabah di bumi untuk menerima persembahan-persembahan korban mereka. Darah Yesus kemudiannya tertumpah , iaitu yang akan direnjiskan-Nya sendiri di Sanktuari syurga. Ketika imam-imam di Sanktuari bumi masuk ke bilik Maha Suci sekali setahun untuk menyucikan Sanktuari itu, Yesus masuk ke dalam bilik Maha Suci di syurga pada akhir 2300 hari dalam Daniel 8, iaitu pada tahun 1844 untuk mengadakan pendamaian terakhir bagi semua yang akan mendapat faedah daripada pengantaraan-Nya dan untuk menyucikan Sanktuari itu.KB 73.2

    Rujuk : Keluaran 25 — 28; Immamat 16; 2 Raja-raja 2:11; Daniel 8:14; Matius 27:50-51; Ibrani 9; Wahyu 21.KB 73.3

    Larger font
    Smaller font
    Copy
    Print
    Contents