Loading...
Larger font
Smaller font
Copy
Print
Contents
  • Results
  • Related
  • Featured
No results found for: "".
  • Weighted Relevancy
  • Content Sequence
  • Relevancy
  • Earliest First
  • Latest First
    Larger font
    Smaller font
    Copy
    Print
    Contents

    Bab 29 - Pelantar Kukuh

    Aku melihat satu kumpulan orang yang berpegang kepada pendirian dan sudah bersedia, tidak memberi muka kepada mereka yang cuba mengubah kepercayaan yang sudah sedia wujud oleh tubuh itu. Tuhan merestui pendirian mereka. Aku telah diperlihatkan tiga langkah — satu, dua dan tiga - perutusan malaikat pertama, kedua dan ketiga. Kata malaikat itu, malang kepada yang mengubah satu blok atau mengocak satu pin perutusan-perutusan ini. Pengertian yang betul terhadap perutusan ini amatlah penting. Akhir nasib seseorang itu bergantung kepada cara bagaimana mereka menerima perkhabaran tersebut. Sekali lagi aku dibawa untuk mengimbas kembali perutusan-perutusan tersebut dan melihat betapa besar pengorbanan umat Tuhan menempuh pengalaman yang mereka lalui. Pengalaman itu mereka perolehi melalui penderitaan dan konflik yang berat. Tuhan memimpin mereka, langkah demi langkah sepanjang jalan sehingga Tuhan meletakkan mereka pada pelantar kukuh yang tidak dapat digoyahkan lagi. Kemudian aku melihat orang-orang perseorangan yang menghampiri pelantar tersebut, sebelum menaikinya mereka memeriksa dasarnya. Ada di antara mereka yang bergirang dengan serta merta naik ke atasnya. Ada pula yang lain mula mencari kecacatan letak dasarnya. Mereka ingin pembaikan dilakukan supaya pelantar itu lebih sempurna dan orang akan lebih gembira. Ada pula yang melangkah turun untuk memeriksa dasarnya, menemui kesilapan pada dasar itu dan mengatakan dasar itu terletak pada tempat yang salah. Tetapi aku melihat hampir semua yang berdiri teguh di atas pelantar menggesa mereka yang telah turun itu supaya menghentikan rungutan mereka kerana Tuhan adalah Jurubina Agung dan mereka hendak menentang Dia. Mereka telah mengimbas kembali pekerjaan indah Tuhan yang telah membawa mereka kepada pelantar yang kukuh itu. Dengan seia sekata mereka mengangkat mata mereka ke langit dan dengan suara yang kuat memuliakan Tuhan. Perkara ini memberi kesan kepada mereka yang telah merungut dan meninggalkan pelantar itu. Kemudian dengan pandangan rendah hati mereka naik semula ke atas pelantar itu.KB 77.1

    Aku dibawa kembali kepada pengisytiharan kedatangan Kristus yang pertama. Yohanes telah dikirimkan dalam roh dan kuasa Elia untuk menyediakan jalan bagi Yesus. Mereka yang menolak kesaksian Yohanes tidak mendapat faedah dari ajaran-ajaran Yesus. Penentangan mereka terhadap perutusan mengenai pemberitahuan awal kedatangan-Nya telah meletakkan mereka pada kedudukan di mana mereka tidak dapat menerima dengan mudah bukti-bukti kuat bahawa Dia adalah Mesias. Syaitan telah memimpin mereka yang menolak perutusan yang dibawa oleh Yohanes pergi lebih jauh dengan menolak dan menyalibkan Kristus. Dengan perbuatan itu, mereka meletakkan diri pada kedudukan di mana mereka tidak dapat menerima berkat-berkat pada hari Pentakosta yang akan mengajar mereka mengenai jalan menuju Bait suci di syurga.KB 77.2

    Pengoyakan tabir yang memisahkan bilik suci dengan bilik maha suci sanktuari di bumi pada kematian Yesus di Salib menunjukkan bahawa upacara-upacara dan persembahan-persembahan korban Yahudi tidak lagi diterima oleh Tuhan. Persembahan korban yang agung telahpun dipersembahkan dan telah diterima. Roh Kudus yang turun pada hari Pentakosta telah membawa minda para murid dari bait suci bumi ke bait suci syurga. Di situ Yesus telah masuk dengan darah-Nya sendiri untuk mencurahkan faedah pendamaian kepada murid-murid-Nya. Tetapi bangsa Yahudi itu ditinggalkan dalam penipuan sempurna dan kegelapan penuh. Mereka kehilangan semua terang yang mungkin mereka perolehi pada rancangan penyelamatan. Tetapi mereka masih bersandar pada upacara-upacara dan persembahan korban yang tidak berfaedah. Mereka tidak akan mendapat faedah dari pengantaraan Kristus di tempat yang suci itu. Sanktuari syurgawi telah mengambil alih peranan sanktuari di bumi. Namun mereka tidak mengetahui jalan menuju ke tempat suci itu.KB 77.3

    Banyak orang memandang dengan perasaan gerun terhadap tindakan bangsa Yahudi menolak dan menyalibkan Kristus. Ketika mereka membaca sejarah penderaan ke atas-Nya yang memalukan itu, mereka fikir mereka mengasihi-Nya dan tidak menyangkal-Nya sebagaimana yang dilakukan oleh Petrus atau menyalibkan Dia sebagaimana yang dilakukan oleh orang-orang Yahudi. Tetapi Tuhan telah menyaksikan pengakuan simpati mereka ke atas Anak-Nya, telah membuktikan mereka, serta telah menguji kasih mereka kepada Yesus seperti yang mereka akui.KB 77.4

    Seluruh syurga memandang dengan penuh minat ke atas penerimaan terhadap perutusan itu. Tetapi banyak orang yang mengaku mengasihi Yesus dan mengalirkan air mata ketika membaca kisah di salib bukannya menerima perutusan itu dengan hati yang girang, sebaliknya mereka terhasut dengan kemarahan, mempersenda-sendakan berita baik kedatangan Yesus itu dengan mendakwa berita itu sebagai satu tipu daya. Mereka tidak mahu bergaul dengan orang-orang yang gembira dengan berita kedatangan Yesus itu, membenci mereka dan menutup pintu gereja kepada orang-orang tersebut. Mereka yang menolak perutusan pertama tidak akan memperolehi faedah daripada perutusan kedua. Demikian juga, mereka tidak mendapat faedah daripada seruan tengah malam yang menyediakan mereka untuk masuk bersama Yesus dengan iman ke tempat yang paling suci dalam sanktuari di syurga. Dengan menolak dua perutusan yang terdahulu, pengertian mereka telah begitu digelapkan sehingga mereka tidak dapat melihat ada terang dalam perutusan malaikat ketiga yang menunjukkan jalan ke tempat yang maha suci di sanktuari syurgawi.Aku melihat gereja-gereja nominal telah menyalibkan perkahabaran itu, sebagaimana orang-orang Yahudi telah menyalibkan Yesus. Oleh sebab yang demikian mereka tidak mempunyai pengetahuan tentang tindakan yang dilakukan di syurga atau jalan ke Tempat Yang Maha Kudus. Mereka juga tidak mendapat faedah dari pengantaraan Yesus di situ. Sebagaimana orang-orang Yahudi yang mempersembahkan persembahan-persembahan sia-sia mereka, mereka juga melafazkan doa-doa kesia-siaan mereka ke tempat yang Yesus telah tinggalkan. Syaitan sangat gembira dengan penipuan mereka yang mengaku sebagai pengikut Yesus, mengikat mereka dalam jeratnya, memakai satu ciri keagamaan dan memimpin minda orang-orang yang mengaku Kristian itu kepadanya, dan melakukan pekerjaan dengan kuasanya, tanda-tanda dan pembohongan yang menakjubkan. Sebahagian ditipu dalam satu cara dan sebahagian yang lain pula ditipu dalam cara yang lain. Dia telah menyediakan pelbagai tipu daya yang berkesan untuk pelbagai minda. Sebahagian mereka melihat dengan gerun ke atas satu penipuan sementara menerima penipuan yang lain. Syaitan memperdayakan sebahagian mereka dengan Spiritualisme. Dia juga datang menyamar sebagai malaikat terang dan menyebarkan pengaruhnya ke seluruh negeri. Aku melihat reformasi-reformasi palsu tersebar di merata tempat. Gereja-gereja gembira dan menganggap bahawa Tuhan dengan cara yang mengagumkan melakukan pekerjaan itu untuk mereka, padahal itu merupakan pekerjaan roh yang lain. Hal itu akan lenyap dan meninggalkan dunia ini serta gereja itu dalam keadaan yang lebih buruk daripada yang sebelumnya.KB 78.1

    Aku melihat bahawa Tuhan mempunyai anak-anak yang ikhlas di kalangan Adventist nominal, gereja-gereja yang telah jatuh dan para paderi. Namun mereka akan dipanggil keluar daripada gereja-gereja itu sebelum bala ditimpakan dan mereka dengan senang hati menerima kebenaran itu. Syaitan tahu tentang hal ini, dan sebelum tempikan kuat dari malaikat ketiga, dia akan membangkitkan semangat dalam tubuh gereja-gereja itu sehingga mereka yang menolak kebenaran itu berfikir yang Tuhan ada bersama dengan mereka. Syaitan berharap akan dapat memperdaya orang-orang yang ikhlas itu dengan memimpin mereka untuk berfikir bahawa Tuhan masih bekerja untuk gereja-gereja mereka. Terang akan bersinar dan setiap orang dari kumpulan yang ikhlas itu akan meninggalkan gereja-gereja yang jatuh itu dan mengambil pendirian yang sama dengan kumpulan yang sisa.KB 78.2

    Rujuk : Matius 3, Kisah Para Rasul 2, 2 Korintus 11:4; 2 Tesalonika 2:9-12; Wahyu 14:6-12.KB 78.3

    Larger font
    Smaller font
    Copy
    Print
    Contents