Loading...
Larger font
Smaller font
Copy
Print
Contents
  • Results
  • Related
  • Featured
No results found for: "".
  • Weighted Relevancy
  • Content Sequence
  • Relevancy
  • Earliest First
  • Latest First
    Larger font
    Smaller font
    Copy
    Print
    Contents

    Bab 35 - Perutusan Ketiga Ditutup

    Perhatianku dibawa kepada masa apabila perutusan malaikat ketiga hendak ditutup. Kuasa Tuhan hinggap pada umat-Nya. Mereka telah menyelesaikan pekerjaan dan disediakan untuk menghadapi masa kesukaran di hadapan mereka. Mereka telah menerima hujan akhir atau disegarkan oleh kehadiran Tuhan. Kesaksian hidup telah dipulihkan. Amaran keras terakhir diberitakan ke segala tempat. Perkara ini telah membangkitkan dan menimbulkan kemarahan kepada seluruh penduduk bumi yang tidak menerima perutusan itu.KB 90.1

    Aku melihat malaikat-malaikat sibuk ke sana dan ke sini di syurga. Satu malaikat kembali dari bumi dengan buli-buli dakwat penulis di sisinya melaporkan kepada Yesus bahawa pekerjaannya telah di laksanakan dan orang-orang salih telah dihitung dan dimeteraikan. Kemudian aku melihat Yesus yang telah melakukan pelayanan-Nya di hadapan Peti Perjanjian yang mengandungi Sepuluh Hukum, melemparkan ukupan ke bawah. Dia mengangkat tangan-Nya ke atas dan dengan suara yang kuat, berkata, “Sudah selesai!” Seluruh malaikat syurga menanggalkan mahkota masing-masing ketika Yesus membuat pengisytiharan penuh takzim, “Barang siapa yang berbuat jahat, biarlah ia terus berbuat jahat; barang siapa yang cemar, biarlah ia terus cemar; dan barang siapa yang benar, biarlah ia terus berbuat kebenaran; barang siapa yang kudus, biarlah ia terus menguduskan dirinya!”KB 90.2

    Aku melihat bahawa setiap kes telahpun ditetapkan sama ada mati atau hidup. Yesus telah menghapuskan dosa-dosa umat-Nya. Dia telah menerima kerajaan-Nya dan pendamaian telah dilakukan untuk warga negara kerajaan-Nya. Ketika Yesus sedang mengadakan pelayanan-Nya dalam Sanktuari, penghakiman dijalankan ke atas orang-orang benar yang sudah mati diikuti dengan orang-orang benar yang masih hidup. Rakyat kerajaan itu sudah ditetapkan. Perkahwinan Domba sudah selesai. Kerajaan itu dan kebesaran kerajaan itu di bawah seluruh langit telah dikurniakan kepada Yesus dan pewaris keselamatan. Yesus memerintah sebagai Raja atas segala raja dan Tuhan atas segala tuhan.KB 90.3

    Ketika Yesus bergerak keluar dari tempat Maha Suci, aku mendengar deringan loceng-loceng pada pakaian-Nya dan ketika Dia meninggalkan tempat itu, satu awan gelap menutupi penghuni bumi. Pada ketika itu tidak ada lagi pengantara di antara orang-orang bersalah dengan Tuhan yang telah disinggung. Pada masa Yesus masih berdiri di antara Tuhan dengan manusia yang bersalah, satu kekangan diberikan kepada manusia. Tetapi bila Yesus berpindah dari perantaraan antara manusia dengan Bapa, kekangan itu telah dilepaskan dan Syaitan pun berkuasa atas manusia. Adalah mustahil malapetaka dicurahkan selagi Yesus masih menjalankan upacara-Nya di Sanktuari. Tetapi bila pekerjaan-Nya di situ sudah selesai, bila pengantaraan-Nya sudah berakhir, tidak ada satupun yang akan dapat menahan murka Tuhan. Murka-Nya itu akan memecahkan kepala orang-orang berdosa yang bersalah yang tanpa pelindung itu yang telah meremehkan keselamatan dan membenci teguran. Selepas pengantaraan Yesus tamat, masa ini adalah yang menakutkan. Orang-orang salih pada masa yang menakutkan itu, selepas berakhirnya pengantaraan Yesus, hidup dalam pandangan Tuhan yang kudus tanpa satu pengantara. Setiap kes sudah diputuskan dan setiap permata telah dikira. Yesus berlengah sekejap di luar apartmen Sanktuari syurga. Dosa-dosa yang telah diakui ketika Yesus berada di tempat Maha Suci, Yesus letakkan semula kepada pemula dosa iaitu si Jahat. Dia mesti menerima hukuman dari dosa-dosa ini.KB 90.4

    Kemudian aku melihat bahawa Yesus menanggalkan pakaian keimamatan-Nya dan menggantikannya dengan jubah di raja — pada kepala-Nya banyak mahkota, satu mahkota dalam satu mahkota —dengan dikelilingi oleh seluruh malaikat, Yesus meninggalkan syurga. Malapetaka demi malapetaka menimpa penghuni bumi. Sebahagian dari mereka mengecam Tuhan dan mengutuk-Nya. Sebahagian yang lain bergegas menemui umat Tuhan dan merayu supaya diajar bagaimana melepaskan diri daripada penghakiman Tuhan. Tetap orang-orang salih itu tidak mempunyai apa-apa lagi untuk mereka. Air mata terakhir bagi orang-orang berdosa telah dicurahkan. Doa mengazabkan yang terakhir telahpun dilafazkan. Beban terakhir telahpun dipikul. Tidak ada lagi suara belas kasihan yang merdu menjemput mereka. Nota amaran terakhir telahpun diberikan. Pada masa orang-orang salih dan seluruh syurga berminat untuk keselamatan mereka, orang-orang berdosa itu sendiri tidak berminat untuk diselamatkan. Kehidupan dan kematian telah disediakan di hadapan mereka. Banyak orang yang mengingini kehidupan tetapi mereka langsung tidak berusaha mendapatkannya. Mereka tidak memilih kehidupan dan kini tidak ada lagi darah pendamaian untuk menyucikan orang-orang berdosa. Tidak ada lagi Juruselamat berbelas kasihan yang merayu untuk mereka dan berseru, “Kasihanilah, kasihanilah orang berdosa itu untuk seketika lamanya.” Seluruh syurga bersatu dengan Yesus, ketika mereka mendengar kata-kata yang menggerunkan, “Sudah selesai. Sudah berakhir.” Rancangan penyelamatan telah dilaksanakan. Tetapi sedikit sahaja orang yang menerima rancangan itu. Ketika suara merdu belas kasihan semakin padam, rasa ketakutan dan kegerunan menyelubungi mereka. Amat jelas sekali dalam pendengaran mereka, kata-kata, “Sudah terlambat! Sudah terlambat!”KB 90.5

    Mereka yang tidak menghargai firman Tuhan bergegas ke sana dan ke sini. Mereka mengembara dari laut ke laut dan dari utara ke timur mencari firman Tuhan. Malaikat itu berkata, “Mereka tidak akan menemuinya, akan ada kebuluran di daratan. Bukan kebuluran akan roti atau dahagakan air tetapi mendengar akan Firman Tuhan. Apakah yang mereka tidak akan berikan untuk satu kata restu dari Tuhan? Tetapi tidak, mereka mesti terus lapar dan dahaga. Hari demi hari mereka meremehkan penyelamatan. Mereka lebih menghargai keseronokan dan kekayaan duniawi daripada tarikan dan harta syurga. Mereka telah menolak Yesus dan menghina orang-orang salih-Nya. Mereka yang cemar tetap cemar untuk selama-lamanya.”KB 91.1

    Sebahagian besar orang-orang jahat itu sangatlah marah bila menderita dari kesan-kesan malapetaka itu. Suatu pemandangan azab yang menakutkan. Ibubapa dengan pahitnya menegur anak-anak mereka dan anak-anak menegur ibu bapa mereka, anak-anak lelaki menegur anak-anak perempuan dan sebaliknya. Suara tangisan yang kuat kedengaran dari segala arah, “kamulah yang telah menghalang saya daripada menerima kebenaran itu, kebenaran yang dapat menyelamatkan saya daripada tempoh yang amat teruk ini. Orang-orang itu berpaling kepada para pelayan rohani dengan kebencian yang sangat pahit, menegur dan mengatakan kepada mereka, “Kamu tidak pernah memberi amaran kepada kami. Kamu telah memberitahu kami bahawa seluruh bumi akan diubah dan berseru, “Damai, damai” untuk melenyapkan rasa ketakutan yang timbul. Kamu tidak pernah memberitahu kami tentang masa ini. Mereka yang memberi amaran kepada kami tentang masa ini, kamu kata fanatik dan orang jahat yang akan merosakkan kami.” Aku melihat pelayan-pelayan rohani itu tidak terlepas daripada murka Tuhan. Hukuman yang dijatuhkan kepada mereka adalah sepuluh kali ganda lebih berat daripada yang dialami oleh para pengikut mereka.KB 91.2

    Rujuk : Yehzkiel 9:2-11; Daniel 7:27; Hosea 6:3; Amos 8:11-13; Wahyu 16, 17:14KB 91.3

    Larger font
    Smaller font
    Copy
    Print
    Contents