Loading...
Larger font
Smaller font
Copy
Print
Contents
  • Results
  • Related
  • Featured
No results found for: "".
  • Weighted Relevancy
  • Content Sequence
  • Relevancy
  • Earliest First
  • Latest First
    Larger font
    Smaller font
    Copy
    Print
    Contents

    Bab 4 - Kedatangan Pertama Kristus

    Aku dibawa ke masa bila Yesus hendak mengambil sifat manusia, merendahkan diri-Nya sebagai manusia dan menderita cubaan Syaitan.KB 15.1

    Kelahiran-Nya tanpa sambutan kebesaran duniawi. Dia dilahirkan di sebuah rumah kandang dan dibuaikan di atas sebuah palungan. Begitupun, kelahiran-Nya dimuliakan lebih tinggi daripada mana-mana anak manusia. Para malaikat memberitakan kedatangan Yesus itu kepada beberapa orang gembala. Terang dan kemuliaan Tuhan menyertai kesaksian mereka. Seluruh penghuni syurga memetik kecapi mereka dan memuliakan Tuhan. Mereka dengan rasa penuh kemenangan memberitakan kedatangan pertama Anak ke dunia yang telah jatuh untuk menyelesaikan pekerjaan penyelamatan. Dengan kematian-Nya, Dia membawa keamanan, kebahagiaan dan kehidupan kekal kepada manusia. Tuhan memperkenankan kedatangan Anak. Para malaikat menyembah sujud kepada-Nya.KB 15.2

    Para malaikat Tuhan berlegar di awang tempat pembaptisan-Nya. Roh Kudus yang menyerupai burung merpati turun dan menyinari Yesus. Orang ramai berdiri kagum menyaksikan kejadian itu. Mata mereka tertumpu sepenuhnya kepada-Nya. Suara Bapa kedengaran datang dari syurga mengatakan Engkaulah Anak-Ku yang Kukasihi, kepada-Mulah Aku berkenan.KB 15.3

    Yohanes tidak pasti yang datang kepadanya untuk dibaptis di sungai Yordan itu adalah Juruselamat. Tetapi Tuhan telah berjanji kepadanya bahawa dengan satu tanda, dia akan mengenali Domba Tuhan itu. Tanda yang diberikan adalah burung merpati syurgawi akan turun kepada Yesus dan kemuliaan Tuhan akan bersinar di sekeliling-Nya. Yohanes mengunjukkan tangannya ke arah Yesus dan dengan suara yang nyaring mengatakan, “Lihatlah Anak Domba Tuhan yang menghapus dosa dunia!”KB 15.4

    Yohanes memberitahu murid-murid-Nya yang Yesus itu adalah Mesias, Juruselamat Dunia yang dijanjikan. Ketika pekerjaannya akan berakhir, Yohanes mengajar murid-muridnya supaya memandang Yesus dan mengikut Dia sebagai Maha Guru. Kehidupan Yohanes penuh dengan penderitaan dan penyangkalan diri. Dia memberitakan kedatangan pertama Yesus tetapi tidak diizinkan untuk menyaksikan mukjizat-Nya. Dia tidak diizinkan menikmati kuasa yang dinyatakan oleh-Nya. Apabila Yesus menonjolkan diri-Nya sebagai guru, Yohanes menyedari yang dia sendiri harus mati. Suaranya jarang kedengaran kecuali di padang belantara. Kehidupannya bersendirian. Dia tidak tinggal dengan keluarga ayahnya dan menikmati pergaulan mereka. Sebaliknya dia meninggalkan mereka untuk memenuhi kehendak misinya. Berduyun-duyun orang meninggalkan kota yang sibuk dan kampung-kampung menuju ke padang belantara untuk mendengar khutbah-khutbah indah dari nabi itu. Yohanes telah meletakkan kapak pada akar pohon. Dia mengutuk dosa. Tanpa takut akan akibatnya, dia menyediakan jalan bagi Domba Tuhan.KB 15.5

    Herodes terasa apabila dia mendengar kesaksian Yohanes yang penuh kuasa dan mengenai sasarannya. Dia dengan penuh minat yang mendalam bertanya apakah yang dia harus lakukan supaya menjadi muridnya. Yohanes mengetahui bahawa Herodes akan mengahwini isteri saudaranya sedangkan suami perempuan itu masih hidup. Yohanes tanpa takut memberitahu Herodes bahawa perbuatan itu adalah salah dari segi undang-undang. Herodes tidak bersedia untuk berkorban. Dia mengahwini isteri saudaranya dan melalui pengaruh isterinya itu, Yohanes ditangkap dan dimasukkan ke dalam penjara. Herodes bercadang untuk membebaskannya kemudian. Walaupun Yohanes Pembaptis merengkok dalam penjara, dia mengetahui pekerjaan besar Yesus melalui murid-muridnya. Dia tidak dapat mendengar kata-kata Yesus yang penuh berkemurahan tetapi murid-muridnya memberitahu dan menghiburkannya dengan apa yang mereka dengar. Tidak lama dari itu, Yohanes Pembaptis dipancung oleh Herodes akibat pengaruh isterinya. Aku melihat murid Yesus yang paling kurang mengikuti Yesus, paling sedikit menyaksikan mukjizatNya dan mendengar perkataan-perkataan dari mulut-Nya yang menghiburkan itu adalah lebih besar daripada Yohanes Pembaptis. Dengan perkataan lain, mereka lebih ditinggikan dan dimuliakan dan mendapat lebih kesenangan dalam hidup mereka.KB 15.6

    Yohanes datang dengan semangat dan kuasa Elia untuk memberitakan kedatangan pertama Yesus. Perhatianku telah dibawa kepada hari-hari terakhir bumi dan melihat bahawa Yohanes adalah simbol atau gambaran bagi mereka yang keluar ke seluruh muka bumi dengan semangat dan kuasa Elia yang memberitakan hari penghakiman dan kedatangan kedua Yesus.KB 15.7

    Selepas pembaptisan Yesus di sungai Yordan, Roh memimpin-Nya ke padang belantara untuk dicubai oleh Syaitan. Roh Kudus telah menyediakan Yesus untuk peristiwa istimewa pencubaan yang paling hebat. Syaitan mencubai-Nya selama empat puluh hari. Sepanjang tempoh itu Dia tidak mengambil sebarang makanan. Segala yang ada di sekeliling-Nya amat tidak menyenangkan. Dalam keadaan yang sedemikian, alamiah manusia boleh merosot. Dia dikelilingi oleh binatang buas dan iblis. Dia bersendiran di tempat yang tidak dihuni oleh manusia. Anak itu menjadi kurus kering dan pucat oleh kerana berpuasa dan akibat penderitaan yang dialami-Nya. Tetapi perjalanan-Nya telah ditetapkan dan Dia harus melaksanakan pekerjaan yang menjadi matlamat kedatangan-Nya.KB 16.1

    Syaitan mengambil kesempatan dari penderitaan yang dialami oleh Anak itu. Syaitan sudah bersedia menyerang-Nya dengan berbagai-bagai godaan. Syaitan berharap pada kali ini dia akan dapat mengalahkan Anak itu. Syaitan berkeyakinan sedemikian kerana Yesus telah merendahkan diri-Nya sebagai manusia. Syaitan datang dengan cubaan ini: “Jika Engkau Anak, suruhlah batu ini menjadi roti.” Syaitan mencuba Yesus supaya takluk kepadanya dan memberi bukti kepadanya yang Yesus itu adalah mesias dengan menggunakan kuasa keilahian-Nya. Yesus menjawabnya dengan bersahaja, “Ada tertulis: Manusia hidup bukan dari roti sahaja tetapi dari setiap firman yang keluar dari mulut Tuhan.”KB 16.2

    Syaitan mencari jalan untuk bertikai dengan Yesus berkenaan dengan kedudukan-Nya sebagai Anak. Dia membawa perhatian Yesus terhadap keadaan-Nya yang lemah dan menderita. Dengan megah Syaitan mengatakan yang dia lebih kuat daripada Yesus. Tetapi perkataan yang turun dari syurga, “Engkaulah Anak-Ku yang Kukasihi, kepada-Mulah Aku berkenan.” sudah cukup menguatkan semangat Yesus sepanjang penderitaan-Nya itu. Aku melihat tidak ada sesuatupun yang perlu dilakukan oleh Yesus untuk meyakinkan Syaitan tentang kuasa-Nya atau kedudukan-Nya sebagai Juruselamat dunia ini. Syaitan mempunyai bukti yang cukup tentang kedudukan-Nya yang ditinggikan dan kuasa-Nya sebagai Anak. Sikapnya yang tidak mahu menyerah kepada kuasa Kristus telah menutup peluangnya untuk kembali ke syurga.KB 16.3

    Untuk menunjukkan kuasanya, Syaitan membawa Yesus ke Yerusalem dan menempatkan Dia di atas bumbung Bait Suci. Di tempat itu, sekali lagi Yesus dicubai supaya membuktikan bahawa Dia adalah Anak dengan cara menjatuhkan diri-Nya dari tempat tinggi itu. Syaitan menggunakan perkataan yang diilhamkan: “Sebab ada tertulis: Mengenai Engkau, Ia akan memerintahkan malaikat-malaikat-Nya untuk melindungi Engkau dan mereka akan menatang Engkau di atas tangannya, supaya kaki-Mu jangan terantuk kepada batu.” Yesus menjawab, “Ada firman: Jangan engkau mencubai Tuhanmu.” Hasrat Syaitan adalah supaya Yesus akan mengambil mudah terhadap kasih kurnia Bapa-Nya dan meletakkan diri-Nya dalam keadaan bahaya sebelum misi-Nya selesai. Syaitan berharap rancangan penyelamatan akan gagal. Tetapi aku melihat bahawa rancangan penyelamatan itu telah ditanam begitu dalam sehingga sukar untuk dicabut atau diganggu gugat oleh Syaitan.KB 16.4

    Aku melihat bahawa Kristus adalah contoh bagi semua Kristian ketika dalam pencubaan atau hak mereka dipertikaikan. Dalam keadaan sedemikian, mereka haruslah memikulnya dengan sabar. Mereka tidak seharusnya mempunyai perasaan yang mereka berhak berseru kepada Tuhan menunjukkan kuasa-Nya untuk memperolehi kemenangan ke atas musuh mereka kecuali ada tujuan istimewa yang jelas supaya Tuhan boleh dipermuliakan dan mendapat kehormatan secara langsung daripada perbuatan tersebut. Aku melihat bahawa jika Yesus menjatuhkan diri-Nya daripada bumbung bait suci itu, Bapa tidak akan dapat dipermuliakan kerana tidak ada seorangpun yang menyaksikan kejadian itu kecuali Syaitan dan para malaikat Tuhan. Keadaan itu sebenarnya adalah untuk mencabar Tuhan supaya menunjukkan kuasa-Nya kepada musuh ketat-Nya. Perkara itu akan nampak seperti Yesus meninggikan diri kepada yang hendak ditakluki-Nya.KB 16.5

    Kemudian si Iblis membawa Yesus ke atas gunung yang tinggi dan memperlihatkan kepada-Nya semua kerajaan dunia dalam tempoh yang singkat. Kata Iblis kepada-Nya, “Segala kuasa itu serta kemuliaannya akan kuberikan kepada-Mu, sebab semuanya itu telah diserahkan kepadaku dan aku akan memberikannya kepada siapa sahaja yang aku kehendaki. Jadi jikalau Engkau menyembah aku, seluruhnya itu akan menjadi milik-Mu.” Tetapi Yesus berkata kepada-Nya, “Enyahlah Iblis, sebab ada tertulis: engkau harus menyembah Tuhanmu dan hanya kepada Dia sahajalah engkau berbakti!”KB 16.6

    Syaitan memperlihatkan kepada Yesus kerajaan-kerajaan dunia dengan cara yang amat menarik. Dia menawarkan kerajaan-kerajaan itu kepada Yesus jika Yesus menyembahnya di situ. Dia memberitahu Yesus yang dia akan melepaskan tuntutan pemilikannya ke atas bumi. Syaitan mengetahui bahawa kuasanya mesti akan dihadkan dan akhirnya akan ditarik daripadanya jika rancangan penyelamatan dilaksanakan. Syaitan mengetahui jika Yesus mati untuk membebaskan manusia, kuasanya akan berakhir selepas satu tempoh dan akhirnya dia akan dibinasakan. Oleh sebab itu, dia telah merancang dengan teliti untuk mengelakkan, jika boleh, rancangan penyelamatan yang telah dimulakan oleh Anak itu daripada mencapai matlamatnya. Jika rancangan penyelamatan manusia itu gagal, Syaitan akan terus memiliki kerajaan yang sebelum ini dituntut sebagai miliknya. Jika dia berjaya, dia akan berbesar hati kerana dia akan bangkit menentang Tuhan di Syurga.KB 17.1

    Syaitan amat bergembira apabila Yesus mengesampingkan kuasa dan kemuliaan-Nya dan meninggalkan syurga. Dia fikir Anak itu telah diletakkan di bawah kuasanya. Godaan itu begitu mudah dapat dilakukan terhadap pasangan suci di Eden. Kerana itu dia berharap dengan kuasa jahatnya yang licik itu dia boleh menjatuhkan Anak. Dengan cara itu hidupnya dan kerajaannya akan selamat. Jika dia dapat menggoda Yesus supaya menyimpang daripada kehendak Bapa-Nya, matlamat rancangannya akan tercapai. Tetapi Yesus menentang penggoda itu dengan herdikan, “Enyahlah, Iblis.” Yesus akan tunduk kepada Bapa-Nya sahaja. Masanya akan tiba bila Yesus akan membebaskan apa yang dimiliki Syaitan dengan nyawa-Nya sendiri dan selepas satu tempoh semua yang di syurga dan di bumi akan takluk kepada-Nya. Syaitan mendakwa yang kerajaan di bumi ini adalah miliknya. Dia menyindir Yesus bahawa segala penderitaan-Nya akan dapat dihindari. Dia tidak perlu mati untuk mendapatkan kerajaan di dunia ini; Jika Dia menyembahnya, Dia akan memperolehi seluruh bumi dan kemuliaan yang menyelubunginya. Tetapi Yesus tetap dengan pendirian-Nya. Dia memilih kehidupan yang derita dan kematian yang menyakitkan sebagai jalan yang dipilih oleh Bapa-Nya supaya Dia menjadi pewaris sah kerajaan-kerajaan dunia yang di serahkan kepada-Nya sebagai milik-Nya yang kekal selama-lamanya. Syaitan juga akan diserahkan ke dalam tangan-Nya untuk dibinasakan oleh maut dan tidak lagi akan mengganggu Yesus atau orang-orang salih dalam kemuliaan.KB 17.2

    Rujuk: Ulangan 6:16; 8:3; 2 Raja-raja 17:35-36; Mazmur 91:11-12; Lukas 2:4KB 17.3

    Larger font
    Smaller font
    Copy
    Print
    Contents