Loading...
Larger font
Smaller font
Copy
Print
Contents
  • Results
  • Related
  • Featured
No results found for: "".
  • Weighted Relevancy
  • Content Sequence
  • Relevancy
  • Earliest First
  • Latest First
    Larger font
    Smaller font
    Copy
    Print
    Contents

    Bab 19 - Kematian, Bukan Hidup Kekal Dalam Kesengsaraan

    Syaitan memulakan penipuannya di Eden. Dia berkata kepada Hawa, “Kamu pastinya tidak akan mati.” Ini merupakan pelajaran pertama Syaitan mengenai keabadian jiwa dan dia telah meneruskan penipuan ini sejak itu hingga kini dan akan meneruskannya sehingga penawanan anak-anak Tuhan dilepaskan. Perhatianku dibawa kepada Adam dan Hawa di Eden. Mereka telah memakan buah daripada pohon larangan. Kemudian pedang yang bernyala-nyala itu diletakkan pada pohon kehidupan. Mereka dihalau keluar daripada Taman itu. Jika tidak nanti mereka akan memakan buah daripada pohon kehidupan itu dan akhirnya menjadi orang berdosa selama-lamanya. Pohon kehidupan itu adalah untuk mengabadikan kekekalan hidup. Aku mendengar satu malaikat bertanya, “Siapakah di antara keluarga Adam yang telah melepasi pedang yang bernyala-nyala itu dan memakan buah daripada pohon kehidupan?” Aku mendengar satu malaikat lain menjawab, “Tidak seorangpun di antara keluarga Adam yang telah melepasi pedang bernyala-nyala itu dan memakan buah dari pohon kehidupan. Oleh sebab itu tidak ada orang yang berdosa hidup kekal selama-lamanya. Jiwa yang berdosa akan mati dengan kematian kekal, satu kematian selama-lamanya di mana tidak ada harapan untuk dibangkitkan. Kemudian murka Tuhan akan padam.”KB 52.1

    Adalah menjadi satu kekaguman bagiku yang Syaitan begitu berjaya meyakinkan manusia bahawa firman Tuhan, “Jiwa yang berdosa itu akan mati” bermakna “jiwa yang berdosa tidak akan mati melainkan hidup selama-lamanya dalam penderitaan.” Malaikat itu berkata, “Kehidupan itu adalah kehidupan, sama ada ia dalam kesakitan atau kebahagiaan. Kematian adalah tanpa kesakitan, tanpa kegembiraan, tanpa kebencian.”KB 52.2

    Syaitan telah memberitahu para iblisnya supaya mengadakan satu usaha khusus bagi memperluaskan penipuan dan pembohongan pertama yang diulang kepada Hawa di Eden, “Kamu pastinya tidak akan mati.” Bila kesalahan itu diterima oleh orang dan mereka percaya manusia itu hidup abadi, Syaitan membawa mereka lebih jauh untuk mempercayai yang orang-orang berdosa akan hidup kekal dalam penderitaan. Kemudian jalan sudah tersedia bagi Syaitan untuk bekerja melalui wakil-wakilnya dan menunjuk kepada Tuhan di hadapan orang sebagai yang zalim pembalas dendam. Mereka yang tidak menyenangkan-Nya akan dilemparkan ke dalam api neraka dan menyebabkan mereka merasa perit murka-Nya selama-lamanya. Mereka akan menderita keazaban yang tidak terkatakan sementara Dia melihat dengan penuh kepuasan ke arah mereka yang menggeliang-geliut dalam kesengsaraan ngeri dan nyala api kekal. Syaitan tahu bahawa jika kesalahan ini dapat diterima, Tuhan akan amat ditakuti dan dibenci bukannya dikasihi dan dikagumi oleh banyak orang. Kemudian banyak orang akan dibawa untuk mempercayai bahawa ancaman firman Tuhan itu tidak akan digenapi secara literal; sebab hal itu bertentangan dengan sifat-sifat-Nya yang berkemurahan dan kasih jika mencampakkan makhluk yang telah dicipta-Nya ke dalam penyiksaan kekal. Syaitan membawa mereka kepada hal lain yang melampau, untuk melepas pandang keadilan Tuhan dan ancaman-ancaman dalam firman-Nya, menggambarkan Dia sebagai sangat berpengasihan sehingga tidak ada seorangpun yang akan binasa, tetapi semua, yang salih dan yang berdosa akan akhirnya diselamatkan dalam kerajaan-Nya. Akibat daripada kesalahan yang mendapat sambutan besar tentang kekekalan jiwa dan kesengsaraan yang tidak ada pengakhirnya, Syaitan mengambil kesempatan ke atas satu kelas lagi dan membawa mereka untuk menganggap Alkitab itu sebagai buku yang bukan diilhamkan. Mereka fikir, Alkitab itu mengajar banyak perkara-perkara yang baik tetapi mereka tidak boleh bergantung kepadanya dan menyukainya sebab mereka telah diajar bahawa Alkitab itulah yang mengisytiharkan doktrin kesengsaraan abadi.KB 52.3

    Syaitan mengambil kesempatan dari satu kelas manusia lagi dan memimpin mereka lebih jauh hingga menyangkal kewujudan Tuhan. Mereka tidak dapat melihat sifat Tuhan yang konsisten didalam Alkitab jika Tuhan menyeksa sebahagian daripada keluarga manusia dengan penderaan kejam yang berkekalan. Mereka menyangkal Alkitab dan Pengarangnya dan menganggap kematian sebagai tidur berkekalan.KB 52.4

    Kemudian Syaitan memimpin satu kelas lagi yang terdiri daripada kumpulan manusia yang berasa takut dan gentar melakukan dosa. Bila mereka melakukan dosa, Syaitan akan berkata di hadapan mereka bahawa upah dosa bukan kematian tetapi kehidupan kekal dengan menahan seksaan dahsyat sepanjang zaman berkekalan. Syaitan memperbaiki peluang memperbesarkan kedahsyatan seksaan tanpa hujungnya dalam minda mereka yang lemah itu. Syaitan mengambil alih minda mereka dan mereka kehilangan pertimbangan. Syaitan dan para iblisnya bergembira. Orang-orang kafir dan ateis pun turut serta dalam menyebarkan keaiban ke atas orang-orang Kristian. Mereka mengatakan yang akibat-akibat jahat penerimaan cerita dongeng popular ini sebagai hasil daripada mempercayai Alkitab dan Pengarangnya.KB 52.5

    Aku melihat seluruh isi syurga dipenuhi dengan kemarahan di atas kerja Syaitan yang sungguh berani itu. Aku bertanya mengapa tipu daya itu dibiarkan berakar dalam minda manusia sedangkan malaikat Tuhan mempunyai kuasa dan jika disuruh sahaja, dengan mudah dapat memecahkan kuasa musuh. Kemudian aku melihat bahawa Tuhan mengetahui yang Syaitan akan mencuba setiap tipu daya untuk memusnahkan manusia. Oleh sebab itu Tuhan telah membuatkan firman-Nya disuratkan dan membuat rancangan-Nya kepada manusia demikian mudah sehingga mereka yang lemah sekalipun tidak harus silap. Selepas Tuhan mengurniakan firman-Nya kepada manusia, Dia dengan teliti memeliharanya supaya Syaitan dan para iblisnya melalui mana-mana ejen-ejennya atau wakil-wakilnya tidak dapat memusnahkannya. Sementara buku-buku lain dapat dibinasakan, Buku suci ini adalah kekal untuk selama-lamanya. Menghampiri dipenghujung masa apabila tipu daya Syaitan bertambah-tambah, salinan-salinan Buku ini akan diperbanyakkkan berlipat kali ganda supaya sesiapa sahaja yang mengingininya akan mendapatkan satu naskah salinan pernyataan kehendak Tuhan kepada manusia. Jika mereka memperolehinya, mereka boleh memperlengkapkan diri mereka dengan senjata itu bagi menentang penipuan dan kehairanan-kehairanan karut daripada Syaitan.KB 53.1

    Aku melihat bahawa Tuhan telah melindungi Alkitab secara khusus. Namun ketika salinan Alkitab itu masih sedikit, manusia yang berpelajaran telah mengubah perkataan-perkataan tertentu. Mereka berbuat demikian dengan niat untuk menjadikan firman itu lebih jelas difahami. Apabila mereka bingung terhadap perkatan yang terang itu, mereka membuat pemahaman bersandarkan pandangan mereka yang sudah terbentuk iaitu yang dipengaruhi oleh tradisi. Tatapi aku melihat bahawa firman Tuhan itu secara keseluruhannya masih merupakan satu rantaian sempurna, satu bahagian Alkitab menjelaskan bahagian yang lain. Seseorang yang benar-benar mencari kebenaran tidak harus buat silap sebab bukan sahaja firman Tuhan itu jelas dan mudah untuk menyatakan jalan kepada kehidupan tetapi juga Roh Kudus telah diberikan untuk memimpin dalam memahami jalan kehidupan yang tercatat dalam firman-Nya.KB 53.2

    Aku melihat bahawa malaikat-malaikat Tuhan tidak pernah mengawal kehendak manusia. Tuhan telah menetapkan kepada manusia kehidupan dan kematian. Manusia boleh membuat pilihannya sendiri. Ramai yang ingin hidup tetapi terus berjalan di jalan yang lebar sebab mereka tidak memilih kehidupan.KB 53.3

    Aku melihat belas kasihan dan kasih Yahweh dalam menyerahkan Anak-Nya untuk mati bagi manusia bersalah. Orang yang tidak menerima keselamatan yang telah dibeli dengan mahal untuk mereka akan dihukum. Makhluk yang diciptakan Tuhan telah memberontak menentang kerajaan-Nya. Tetapi aku melihat Tuhan tidak menyumbatkan mereka ke neraka untuk mengalami sengsara yang berkekalan. Tuhan tidak dapat membawa mereka ke syurga sebab jika mereka dikumpulkan bersama dengan orang-orang yang bersih dan suci mereka akan merasakan seksaan yang sesungguhnya. Tuhan tidak akan membawa mereka ke syurga dan tidak juga akan membuat mereka terseksa berkekalan. Tuhan akan memusnahkan mereka sepenuhnya seolah-olah mereka tidak pernah dilahirkan. Dengan yang demikian keadilan Tuhan akan digenapi. Tuhan telah membentuk manusia daripada debu tanah dan mereka yang tidak taat dan tidak suci akan dihanguskan oleh api dan kembali menjadi debu lagi. Aku melihat bahawa kemurahan dan belas kasihan Tuhan dalam hal ini seharusnya telah membawa manusia untuk mengkagumi sifat Tuhan dan memuja-Nya. Selepas orang-orang jahat dimusnahkan daripada muka bumi ini, seluruh isi syurga akan berkata, “Amen.”KB 53.4

    Syaitan sangat berpuas hati dengan mereka yang mengaku nama Kristus dan berpegang teguh kepada penipuan ini yang dirancangnya sendiri. Pekerjaannya adalah untuk sentiasa merancang penipuan-penipuan baru. Kuasanya meningkat dan dia bertambah licik. Dia memimpin wakil-wakilnya, para pope dan paderi, untuk meninggikan diri mereka. Dia menghasut orang untuk menganiaya dengan kejamnya mereka yang mengasihi Tuhan dan yang tidak mahu menyerah terhadap penipuannya yang diperkenalkan melalui ejen-ejennya itu. Syaitan menggerakkan ejen-ejennya untuk menghapuskan pengikut-pengikut setia Kristus. Oh, penderitaan-penderitaan dan azab yang mereka tanggungkan ke atas umat kesayangan Tuhan! Malaikat-malaikat dengan setia mencatat semua peristiwa itu. Tetapi Syaitan dan para iblisnya sangat bergembira dan memberitahu para malaikat yang membuat catatan itu dan yang menguatkan orang-orang salih yang menderita itu, bahawa dia akan membunuh mereka sehingga tidak akan ada seorangpun orang Kristian benar yang tertinggal di muka bumi ini. Aku melihat bahawa gereja Tuhan masa itu adalah tulen. Tidak ada bahaya daripada orang-orang yang hatinya telah ternoda datang ke gereja Tuhan sebab orang Kristian benar yang berani mengisytiharkan imannya akan berhadapan dengan bahaya pangkin dan tiang penyeksa serta setiap bentuk penyeksa yang pernah dicipta oleh Syaitan dan para iblisnya dan ditanamkan ke dalam minda manusia.KB 53.5

    Rujuk : Kejadian 3; Pengkhotbah 9:5, 12:7; Lukas 21:33; Yohanes 3:16; 2 Timotius 3:16; Wahyu 20:14-15, 21:1, 22:12-19KB 54.1

    Larger font
    Smaller font
    Copy
    Print
    Contents