Loading...
Larger font
Smaller font
Copy
Print
Contents
  • Results
  • Related
  • Featured
No results found for: "".
  • Weighted Relevancy
  • Content Sequence
  • Relevancy
  • Earliest First
  • Latest First
    Larger font
    Smaller font
    Copy
    Print
    Contents

    Bab 23 - Perutusan Malaikat Pertama

    Aku melihat bahawa Tuhan ada di dalam pengisytiharan masa pada tahun 1843. Hal itu adalah rancangan-Nya untuk membangkitkan semangat di kalangan umat dan membawa mereka ke satu titik ujian di mana mereka harus membuat keputusan. Para pembimbing rohani telah diyakinkan dan berasa yakin terhadap betulnya kedudukan yang diambil berkenaan dengan tempoh nubuatan. Dengan yang demikian mereka rela melepaskan kemegahan diri, gaji dan gereja mereka dan pergi dari satu tempat ke satu tempat mengisytiharkan perutusan itu. Namun apabila pengisytiharan dari syurga itu mendapat tempat dalam hati orang-orang yang mengaku sebagai pelayan-pelayan Kristus, dalam bilangan yang kecil sahaja, pekerjaan itu dibentangkan kepada banyak orang yang bukan pengkhutbah. Ada di kalangan mereka yang meninggalkan ladang-ladang untuk menyampaikan perutusan itu, manakala yang lain dipanggil keluar dari kedai-kedai dan perniagaan mereka. Bahkan para profesional juga terdorong meninggalkan pekerjaan mereka untuk melibatkan diri dalam pekerjaan yang tidak popular itu bagi menyampaikan perutusan perutusan malaikat pertama. Para pembimbing rohani mengetepikan pandangan-pandangan dan perasaan-perasaan sektarian dan bersatu dalam mengisytiharkan kedatangan Yesus. Umat akan bangkit di mana sahaja perutusan itu akan sampai. Orang-orang berdosa bertaubat, menangis dan berdoa memohon keampunan. Mereka yang hidup bergelumang dengan ketidakjujuran berbesar hati untuk memulangkan harta bukan miliknya.KB 61.1

    Ibu bapa merasakan suatu perasaan mengambil berat yang sangat mendalam terhadap anak-anak mereka. Mereka yang telah menerima perutusan itu bekerja bagi saudara mara dan sahabat handai yang belum bertaubat. Dengan jiwa mereka yang tertunduk oleh beban perutusan yang berat, mereka menyampaikan amaran dan merayu supaya mereka bersedia untuk kedatangan Anak Manusia. Mereka yang sudah begitu keras sehingga tidak mahu menyerah kepada beban bukti akan pulang ke rumah bersama dengan amaran yang ikhlas. Pekerjaan menyucikan jiwa ini akan membawa perasaan kasih sayang jauh daripada hal-hal duniawi kepada pentahbisan yang belum pernah dialami sebelum itu. Beribu-ribu orang telah dibawa untuk mendakap kebenaran yang dikhutbahkan oleh William Miller. Hamba-hamba Tuhan telah dibangkitkan dalam roh dan kuasa Elia untuk mengabarkan perutusan itu. Mereka yang menyampaikan perutusan yang serius itu seperti Yohanes perintis bagi Yesus, berasa terdorong mengapak akar pohon itu dan memanggil orang untuk membawa buah-buah untuk pertaubatan. Kesaksian mereka disediakan sedemikian rupa untuk menaikkan semangat dan memberi kesan kepada gereja dengan penuh kuasa serta menyatakan sifat mereka yang sebenar. Ketika mereka menyorakkan amaran yang berat itu supaya lari daripada murka yang akan datang, banyak orang yang menyatukan diri dengan gereja-gereja akan menerima perutusan yang menyembuhkan. Mereka melihat kemurtadan mereka. Dengan air mata pertaubatan yang pahit dan keazaban jiwa yang sangat dalam, mereka merendahkan hati di hadapan Tuhan. Ketika Roh Tuhan hinggap pada mereka, mereka pula membantu mengumandangkan seruan, “Takutlah akan Tuhan dan muliakanlah Dia kerana telah tiba saat penghakiman-Nya.”KB 61.2

    Pengisytiharan masa tertentu mengenai kedatangan kali kedua Kristus telah mendapat tentangan hebat dari semua lapisan, dari mereka yang melayani di mimbar hinggalah di kalangan mereka yang semborono, orang berdosa paling nekad. “Tidak ada orang yang mengetahui hari atau jamnya!” adalah ungkapan yang kedengaran diucapkan oleh para pendeta hipokrit dan dari para pencemuh yang lantang. Tidak ada yang akan ditunjuk ajar dan diperbetulkan dalam penggunaan ayat-ayat oleh mereka yang menunjuk kepada tahun bila mereka percaya yang tempoh nubuatan akan berakhir dan kepada tanda-tanda yang menunjukkan Kristus sudah hampir, bahkan sudah di ambang pintu. Banyak di antara orang-orang yang mengaku mengasihi Juruselamat mengatakan bahawa mereka tidak menentang terhadap kedatangan-Nya yang kedua kali, tetapi semata-mata membantah masa yang ditentukan. Tuhan yang melihat semua hal dapat membaca hati mereka. Mereka tidak ingin akan hampirnya Yesus itu. Mereka tahu bahawa kehidupan mereka yang tidak bersifat kristian tidak akan bertahan terhadap ujian. Sebab mereka tidak berjalan pada jalan daif yang dibentangkan oleh-Nya. Gembala-gembala palsu ini menjadi penghalang kepada pekerjaan Tuhan. Kebenaran yang dikhutbahkan dalam kuasanya yang meyakinkan kepada umat menaikkan semangat mereka dan seperti pegawai penjara, mereka mula bertanya, “Apakah yang harus kubuat supaya selamat.” Tetapi gembala-gembala ini menjadi penghalang di antara kebenaran dan umat yang berkhutbah akan hal-hal yang menyenangkan untuk memesongkan mereka daripada kebenaran. Mereka berpadu dengan Syaitan dan para iblisnya lalu berseru, “Damai, damai” ketika tidak ada damai. Aku melihat bahawa malaikat-malaikat Tuhan telah mencatat semuanya itu. Pakaian-pakaian pada gembala-gembala yang tidak ditahbiskan itu dilumuri dengan darah jiwa-jiwa. Mereka yang menyenangi keselesaan itu dan berpuas hati dengan hubungan renggang dengan Tuhan tidak akan bangkit daripada buaian rasa selamat duniawi.KB 61.3

    Banyak pelayan rohani tidak mahu menerima perutusan yang menyelamatkan ini manakala mereka yang ingin menerimanya dihalangi. Darah jiwa-jiwa tertanggung atas mereka. Para pengkhutbah dan umat bergabung menentang perutusan dari syurga ini. Mereka menganiaya William Miller dan orang-orang yang bergabung dengannya dalam pekerjaan itu. Kepalsuan disebarkan untuk mencacatkan pengaruhnya. Pada masa yang lain selepas dia dengan jelasnya menyatakan nasihat-nasihat Tuhan, dengan mengaplikasikan kebenaran-kebenaran yang menyentuh hati para pendengar, keberangan besar bernyala-nyala menentangnya. Ketika dia meninggalkan tempat pertemuan itu, beberapa orang menyerang hendap untuk membunuhnya. Tetapi malaikat Tuhan diutus untuk memelihara nyawanya dan membawanya jauh daripada gerombolan yang marah itu. Pekerjaannya belum lagi diselesaikan.KB 62.1

    Orang-orang yang paling setia menerima perutusan itu dengan senang hati. Mereka tahu perutusan itu datangnya daripada Tuhan dan disampaikan tepat pada masanya. Para malaikat memandang dengan minat yang sangat mendalam terhadap hasil perutusan syurgawi itu. Bila gereja-gereja berpaling daripada perutusan itu dan menolaknya, para malaikat itu dengan sedih bertanya kepada Yesus. Dia memalingkan muka-Nya daripada gereja-gereja itu dan menyuruh malaikat-malaikat menjaga dengan setia mereka yang dihargai, yang tidak menolak kesaksian itu sebab ada terang lain yang akan menyinari mereka.KB 62.2

    Aku melihat bahawa jika orang-orang yang mengaku Kristian mengingini kedatangan Juruselamat, jika kasih mereka terletak pada-Nya, jika mereka merasakan bahawa tidak ada sesuatupun di dunia ini yang setanding dengan-Nya, mereka seharusnya mengalu-alukan dengan keriangan tanda-tanda pertama kedatangan-Nya. Tetapi ketidaksenangan yang mereka tunjukkan itu apabila mereka mendengar kedatangan Tuhan merupakan bukti kukuh bahawa mereka tidak mengasihi-Nya. Syaitan dan para iblisnya berasa menang dan melemparkan tohmahan ke muka Yesus dan para malaikat-Nya yang suci bahawa orang-orang yang mengaku pengikut Yesus amatlah kecil kasih kepada-Nya sehingga mereka tidak mengingini kedatangan-Nya kali yang kedua itu.KB 62.3

    Aku melihat umat Tuhan riang ria dalam penantian, menunggu Tuhan mereka. Tetapi rancangan Tuhan adalah untuk mematangkan mereka. Tangan-Nya menutup satu kesilapan dalam penghitungan tempoh nubuatan. Mereka yang menunggu-nunggu akan Tuhan tidak menemuinya dan orang-orang paling berpelajaran yang menentang tempoh itu pun gagal melihat kesilapan itu. Tuhan telah menetapkan yang umat-Nya harus mengalami kekecewaan. Masa berlalu dan mereka yang menantikan dengan riang-ria akan kedatangan Juruselamat mereka berasa sedih dan tawar hati. Manakala mereka yang tidak mengingini kedatangan Yesus tetapi menerima perutusan itu kerana rasa takut, berasa lega yang Dia tidak datang pada masa yang dinanti-nantikan. Pegangan mereka tidak memberi kesan dalam hati dan tidak juga menulenkan hati mereka. Masa yang berlalu memang telah diperhitungkan untuk mendedahkan hati mereka. Merekalah yang pertama berlari dan mencemuh orang-orang yang bersedih, yang kecewa, yang benar-benar merindui kedatangan Juruselamat. Aku melihat hikmat Tuhan dalam mematangkan umat-umat-Nya dan memberi mereka satu ujian untuk memeriksa bagi mengetahui mereka yang berundur dan berpaling pada masa cubaan yang genting.KB 62.4

    Yesus dan seluruh isi syurga melihat dengan simpati dan kasih terhadap mereka yang rindu menantikan dengan manisnya untuk melihat Dia yang sungguh dikasihi oleh jiwa mereka. Para malaikat mengepak-ngepak di awang sekeliling mereka untuk menguatkan mereka dalam masa cubaan mereka itu. Mereka yang tidak peduli untuk menerima perutusan syurgawi itu dibiarkan dalam kegelapan. Murka Tuhan bernyala-nyala terhadap mereka oleh kerana mereka tidak mahu menerima terang yang dikirimkan kepada mereka dari syurga. Mereka yang setia, yang kecewa, yang tidak faham mengapa Tuhan tidak datang, tidak dibiarkan dalam kegelapan. Sekali lagi mereka dibawa kepada Alkitab untuk menyelidiki tempoh-tempoh nubuatan. Tangan Tuhan dialihkan daripada angka-angka itu dan kesilapan pun dijelaskan. Mereka melihat bahawa tempoh-tempoh nubuatan itu sampai ke 1844. Bukti yang sama yang digunakan untuk menunjukkan tempoh nubuatan berakhir pada tahun 1843 membuktikan bahawa tempoh-tempoh nubuatan itu berakhir pada 1844. Terang daripada firman Tuhan bersinar atas kedudukan mereka dan mereka mendapati satu tempoh perlengahan. — Jika penglihatan itu lengah, nantikanlah ia. — Dalam keghairahan mereka menantikan segeranya kedatangan Yesus, mereka terlepas pandang terhadap penglihatan yang lengah, yang dihitung untuk mendedahkan orang-orang yang betul-betul menunggu akan kedatangan-Nya. Sekali lagi mereka mempunyai satu titik masa. Namun banyak di antara mereka yang tidak dapat bangkit mengatasi kekecewaan mereka yang teruk untuk memiliki tingkat semangat dan tenaga yang mewarnai iman mereka pada tahun 1843.KB 62.5

    Syaitan dan para iblisnya berasa menang atas mereka. Mereka yang tidak mahu menerima perutusan itu, mengucapkan tahniah kepada diri mereka sendiri di atas pertimbangan berpandangan jauh mereka dan hikmat dalam menolak penipuan itu, demikian kata mereka. Mereka tidak menyedari bahawa mereka telah menolak nasihat Tuhan. Mereka bekerja sehaluan dengan Syaitan dan para iblisnya untuk membingungkan umat Tuhan yang hidup daripada perutusan yang datang dari syurga.KB 63.1

    Orang-orang yang percaya dalam perutusan ini menerima penindasan di gereja-gereja. Ketakutan telah menahan mereka untuk sementara waktu sehingga mereka tidak bertindak mengikut sentimen dari hati mereka tetapi peredaran masa telah menyatakan perasaan mereka yang sebenar. Mereka ingin menutup kesaksian yang orang-orang percaya terdorong untuk memikulnya, bahawa tempoh nubuatan adalah berlangsung hingga 1844. Dengan terang mereka menjelaskan kesilapan mereka dan memberikan sebab-sebab mengapa mereka menantikan kedatangan Tuhan pada tahun 1844. Para penentang tidak dapat memberikan hujah-hujah bagi menangkis sebab-sebab kukuh yang diberikan. Kemarahan gereja-gereja bernyala-nyala ke atas mereka. Gereja-gereja bertekad untuk tidak mahu mendengar apa-apa buktipun dan menutup kesaksian mereka daripada gereja-gereja supaya yang lain tidak dapat mendengarnya. Mereka yang tidak berani menahan terang yang Tuhan telah berikan kepada mereka untuk diberikan kepada orang lain juga dikeluarkan daripada gereja-gereja. Tetapi Yesus menyertai mereka. Mereka riang ria dalam terang wajah-Nya. Mereka telah bersedia untuk menerima perutusan malaikat yang kedua.KB 63.2

    Rujuk : Daniel 8:14; Habakuk 2:1-4; Maleaki 3,4; Matius 24:36; Wahyu 14:6-7.KB 63.3

    Larger font
    Smaller font
    Copy
    Print
    Contents